Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Sabtu bahawa ia akan melancarkan vaksin monovalen Covid-19 yang dikemas kini secara berperingkat mulai 30 Oktober.
Ini dijangkakan akan menggantikan semua formulasi sedia ada vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan Moderna/Spikevax menjelang 20 November, kata MOH.
Berdasarkan tarikh jangkaan ketibaan penghantaran, MOH akan melancarkan vaksin monovalen yang dikemas kini berdasarkan jadual berikut:
Orang ramai boleh mendapatkan suntikan vaksin mereka dengan mengunjungi sebarang Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC), Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) atau poliklinik yang menawarkan vaksin itu.
Tempat vaksinasi terdekat dan jenis vaksin yang ditawarkan di setiap lokasi yang disenaraikan boleh diperolehi menerusi laman https://www.gowhere.gov.sg/vaccine.
Mereka yang memilih untuk membuat janji temu untuk vaksinasi boleh menghubungi klinik secara langsung atau berbuat demikian di https://book.health.gov.sg/covid.
Dari 4 November hingga 2 Disember, MOH juga akan melanjutkan waktu operasi semua JTVC pada Sabtu dari 9 pagi hingga 7 malam dengan jangkaan permintaan lebih tinggi untuk vaksin yang dikemas kini dan bukannya pada waktu operasi biasa dari 9 pagi hingga 1 tengah hari.
Tempoh menunggu lebih lama dijangka pada Jumaat dan Sabtu, kata MOH.
Orang ramai boleh melayari https://www.vaccine.gov.sg/locations/jtvc/ untuk waktu operasi JTVC, dan boleh juga menyemak dengan PHPC jika mereka menawarkan vaksin pada Ahad.
“Vaksinasi kekal sebagai pertahanan utama kami terhadap Covid-19, dan terus selamat dan berkesan untuk dijalani,” kata MOH.
Berdasarkan data daripada Penguasa Sains Kesihatan, setakat 30 Sept, melaporkan kadar kejadian buruk dan kejadian buruk serius bagi vaksin mRNA (versi monovalen dan bivalen) kekal jarang berlaku pada 0.10 peratus dan 0.007 peratus, kata kementerian itu.
Ia menambah bahawa kejadian miokarditis kekal jarang berlaku, dengan melaporkan kadar 1.0 setiap 100,000 dos (0.001 peratus) untuk vaksin monovalen dan 0.4 setiap 100,000 dos (0.0004 peratus) untuk vaksin bivalen.
“Perlindungan daripada vaksinasi akan berkurangan dari semasa ke semasa. Oleh itu, kami menggalakkan semua individu untuk mengikuti perkembangan terkini vaksinasi mereka sebaik sahaja layak,” kata MOH.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg