Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (24 Dis) mengesahkan sebanyak 82 kes baru Omicron direkodkan - yang tertinggi sejauh ini - di mana 17 adalah kes tempatan dan 65 kes import.
Secara keseluruhannya sehingga 12 tengah hari ini, seramai 413 pesakit kini menjalani rawatan di hsopital dengan 10 ditempatkan di Unit Jagaan Rapi (ICU) dan 45 memerlukan bantuan oksigen.
Seramai 19 pula berada dalam keadaan tenat.
Menurut MOH menerusi keterangan yang dikemaskini di laman rasminya sekitar 10.30 malam tadi, kadar kepenggunaan ICU adalah 51.7 peratus.
Daripada jumlah yang diberikan, 265 adalah kes baru di mana 177 adalah dari kalangan masyarakat, 9 dalam asrama sementara 79 diimport dan 388 telah dibenarkan pulang.
Tiada kematian direkodkan hari ini.
Mulai hari ini kata kementerian itu, semua kes Covid-19 yang diuji positif bagi kegagalan sasaran S-gene (SGTF) akan dikategorikan sebagai kes Omicron, tanpa penambahan perurutan genom keseluruhan (WGS atau whole genome sequencing).
"Berdasarkan pengalaman setempat kami, jika seseorang diuji positif untuk SGTF, adalah besar kemungkinan ia adalah varian Omicron.
"Ini sejajar dengan amalan di negara lain, dan tidak akan merubah tindakan kesihatan awam sedia ada yang telah pun digerakkan dengan cara pengesanan SGTF.
"Disebabkan perubahan ini, jumlah kes Omicron akan menyaksikan satu peningkatan dari jumlah sebelumnya, memandangkan sampel sebelum WGS telah disertakan dalam perkiraan hari ini," kata MOH.
Sepanjang 28 hari lalu, seramai 16,622 orang telah dijangkiti Covid-19, di mana 98.7 peratus tidak mempunyai atau hanya bergejala ringan.
Dari jumlah tersebut, 0.8 peratus memerlukan bantuan oksigen dan 0.3 peratus berada di ICU.
Sehingga semalam (23 Disember), 88 peratus dari keseluruhan penduduk menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, dan daripada 96 peratus penduduk yang layak, 87 peratus telah selesai menjalani vaksinasi sepenuhnya.
Menurut MOH, 36 peratus dari keseluruhan penduduk telah menerima vaksin penggalak.
Sehingga 12 tengah hari ini, MOH merekodkan 277,307 kes Covid-19 dan seramai 820 orang telah terkorban setakat ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg