Kementerian Kesihatan (MOH) telah mengesahkan tambahan 876 kes jangkitan Covid-19 di Singapura.
Terdapat 1 kes yang diimport hari ini yang telah diberi Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di negara ini.
Sejumlah 4 kes dalam masyarakat di mana 2 melibatkan warga Singapura atau Penduduk Tetap, sementara 2 lagi adalah pemegang Pas Kerja.
Menurut MOH, jumlah kes baharu dalam masyarakat telah merosot dari purata 11 kes sehari dalam minggu sebelumnya, ke purata 9 kes sehari pada minggu lalu.
Jumlah kes yang tiada kaitan dengan masyarakat juga merosot, dari 5 kes sehari dalam minggu sebelumnya, ke purata 4 kes pada minggu lalu.
Sejumlah 11 kes didaftarkan bagi kes melibatkan pemegang Permit Kerja yang menginap di luar asrama pekerja.
Jumlah kes baharu di kalangan pemegang Permit Kerja di luar asrama juga telah merosot, dari purata 9 kes sehari dalam minggu sebelumnya, kepada 8 kes sehari pada minggu lalu.
MOH menyatakan sejumlah 860 kes direkodkan di kalangan pemegang Permit Kerja yang menginap di asrama.
Jumlah kes baharu dari kalangan pekerja dengan gejala jangkitan pernafasan yang teruk (ARI) dan kontak mereka kekal stabil.
Bagaimanapun, jumlah kes harian terus meningkat sedang MOH menjalankan ujian ke atas pekerja yang sihat dan punya gejala asimptomatik, sebagai sebahagian daripada proses pengesahan dan menguji status setiap pekerja.
"Kami telah memulakan ujian intensif di asrama yang dibina khusus, dan kini sedang melakukan hal serupa di asrama yang dirubah dari kilang," kata MOH.
Daripada kes-kes baharu, 98 peratus dikaitkan dengan kelompok yang dikenalpasti, sedang yang lain sedang dijejaki.
MOH sering menyemak ujian makmal dan baru-baru ini mendapati ada 33 kes dari makmal yang menunjukkan positif yang sebenarnya tidak, disebabkan isu kalibrasi peralatan bagi salah satu alat ujian.
Ujian selanjutnya di Makmal Nasional Kesihatan Awam mendapati kesemua kes adalah negatif.
MOH mengambil langkah serta-merta untuk membetulkan keadaan.
Makmal yang terkait telah menghentikan semua ujian dan sedang berusaha menyelesaikan isu kalibrasi.
Tambahan daripada itu, terdapat dua keputusan yang jelas dan kemudian disahkan negatif sebelum ujian semula.
MOH telah memantau kelompok sedia ada bagi sebarang penularan.
Memandangkan tiada lagi kes dikaitkan dengan tapak binaan di 6 Battery Road bagi dua tempoh pemeraman, yakni 28 hari, maka kluster itu telah ditutup.
Sepanjang minggu lalu, antara 3 hingga 9 Mei, MOH telah mengenalpasti 273 kes yang sebelum ini tiada kaitan.
Siasatan epidemiologikal yang dijalankan dan jejak kontak mendapati wujud kaitan antara kes baharu dan yang telah diumumkan sebelum ini.
Sejumlah 425 lagi kes Covid-19 telah dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan penjagaan masyarakat.
Secara keseluruhannya, 2,721 telah sembuh sepenuhnya dari jangkitan dan telah dibenarkan pulang.
Terdapat 1,097 kes pada masa ini yang masih di hospital.
Sedang sebahagian besar adalah stabil, 22 masih dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.
Sejumlah 19,498 kini diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Ini melibatkan mereka yang mengalami gejala ringan, atau secara klinikal sihat tetapi telah diuji positif bagi Covid-19.
Seramai 20 orang telah meninggal dunia disebabkan kerumitan akibat jangkitan Covid-19.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg