KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) berkata pihaknya akan terus meningkatkan langkah berjaga-jaga sedang Singapura memasuki Fasa Dua pembukaannya pada Jumaat (19 Jun) dengan meluaskan rejim pengujian Covid-19 dan meningkatkan penggunaan teknologi bagi memudahkan pengesanan kontak.
Dalam kenyataannya pada Khamis (18 Jun), MOH berkata pihaknya akan meluaskan strategi ujian Covid-19 dan mempunyai rancangan untuk meningkatkan kapasiti kepada 40,000 ujian sehari.
Menurutnya ini dilakukan dengan beberapa cara termasuk meningkatkan ujian ke atas kontak dekat.
MOH juga mempunyai matlamat menjalankan ujian terhadap semua individu yang mempunyai jangkitan pernafasan akut (ARI) pertama kali mereka dirujukkan kepada doktor.
Dengan lebih ramai individu kembali bekerja sedang ekonomi negara dibuka semula, MOH juga akan meluaskan ujian terhadap semua individu berusia 45 tahun dan ke atas yang didapati menghidapi ARI mulai lewat minggu depan kerana risiko jangkitan Covid-19 meningkat mulai usia 45 tahun.
"Ini akan diluaskan secara progresif kepada lebih banyak kumpulan kemudian," kata MOH.
Kementerian itu juga akan terus melakukan ujian pemantauan lebih aktif dalam masyarakat.
Mengenai aplikasi TraceTogether pula, MOH berkata meningkatkan tahap penggunaan teknologi itu menjadi lebih genting dalam Fasa Dua dan seterusnya memandangkan Singapura perlu bersedia menghadap lebih banyak kes masyarakat sedang lebih banyak kegiatan dibenarkan.
Kini terdapat 2 juta pengguna aplikasi TraceTogether di Singapura.
"Kami menggalak semua orang untuk memuat turun dan menggunakan aplikasinya.
"Untuk memastikan semua orang dapat memanfaatkan Program TraceTogether ini, kami akan memberikan Token TraceTogether kepada mereka yang tidak mempunyai telefon bijak atau telefon bijak yang diperlukan agar aplikasi dapat berfungsi dengan baik.
"Token TraceTogether akan dilancarkan dari akhir bulan Jun dan seterusnya, bermula dengan warga tua dan kemudian secara berperingkat kepada seluruh penduduk," kata MOE.
Butiran akan diumumkan tidak lama lagi.
Selain TraceTogether, pelaksanaan sistem SafeEntry juga perlu dan penting untuk mengesan kontak.
Semua perniagaan dan perkhidmatan yang sedang beroperasi diharuskan mengguna SafeEntry.
Ia dapat membantu mengesan waktu masuk dan keluar tertentu di tempat tertutup untuk semua yang menggunakannya.
"Bersama strategi ujian dan usaha mengesan kontrak kami, pelaksanaan langkah-langkah ketat mengawal jangkitan oleh semua pihak berkepentingan akan membantu kita membuka kembali dengan cara yang selamat.
"Semua individu mesti memainkan peranan mereka, dan terus mengamalkan jarak selamat dan kebersihan diri yang baik, untuk mengurangkan risiko penularan.
"Dengan usaha kolektif, kita dapat menantikan pembukaan semula dan penyambungan semula aktiviti yang selamat," kata MOH.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg