Rakyat Singapura berpeluang menyaksikan sambutan kemerdekaan Singapura yang ke-60 atau SG60 di Padang.
Ini kerana permohonan tiket ke Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 bakal dibuka mulai tengah hari pada 28 Mei.
Permohonan mesti dibuat menggunakan Singpass menerusi laman web www.ndp.gov.sg.
Permohonan akan ditutup pada tengah hari 9 Jun.
Kesemua rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) boleh membuat permohonan untuk menyaksikan perbarisan utama pada 9 Ogos atau salah satu daripada dua sesi pratonton NDP pada 26 Julai dan 2 Ogos.
Padang dapat menampung sekitar 27,000 penonton bagi perbarisan NDP dan setiap sesi pratonton.
Bertemakan ‘Majulah Singapura’, NDP 2025 akan menghargai perjalanan 60 tahun pembangunan negara serta menyeru rakyat Singapura supaya meraikan masa lalu dan membina masa depan bersama.
Menurut Jawatankuasa Eksekutif NDP 2025 (Exco) dalam satu kenyataan media pada 26 Mei, tema tersebut menekankan nilai “kepercayaan, keterangkuman, dan sokongan bersama” sambil menggalakkan setiap warga supaya memainkan peranan mereka dalam kemajuan dan kejayaan berterusan Singapura.
Sorotan NDP 2025 termasuk sambutan yang diperluas meliputi kawasan Padang dan sekitar Marina Bay dan akan menyaksikan reruai interaktif dan permainan karnival.
Di samping itu, terdapat skrin-skrin LED besar dan pembesar suara yang akan dipasang untuk menyiarkan persembahan itu secara langsung di seluruh kawasan tersebut.
Segmen Kontinjen Kenderaan akan tampil semula di Padang sejak kemunculan terakhir pada 2019.
Ia menampilkan aset udara, darat dan maritim dari Angkatan Tentera Singapura (SAF), Home Team dan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA).
Buat julung-julung kalinya, segmen itu akan digabungkan dengan acara terbang lalu jet pejuang melintasi Padang dan persembahan maritim di Marina Bay.
Bagi yang tidak mempunyai Singpass, mereka dinasihatkan supaya mendaftar, meminta bantuan daripada seseorang yang dipercayai membuat permohonan tiket bagi pihaknya atau kunjungi pusat perkhidmatan ServiceSG untuk mendapatkan bantuan secara peribadi.
Permohonan yang berjaya akan dimaklumkan dari 20 hingga 25 Jun.
Pemohon yang berjaya hanya akan dimaklumkan melalui SMS dan alamat e-mel gov.sg dan info@mail.postman.gov.sg masing-masing.
“Sebarang SMS dan e-mel daripada sumber lain harus dianggap sebagai percubaan penipuan atau penipuan pancingan data,” kongsi jawatankuasa itu.
Tiket tersebut sama sekali bukan untuk dijual dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang cuba berbuat demikian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg