Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM akan kerah kakitangan ke tapak kerja, binaan demi pastikan keselamatan

Ia sebahagian daripada semakan susuli kenaikan kes kecederaan, kematian
Jun 24, 2022 | 5:30 AM
- Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
- Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng. -

DEMI memastikan keselamatan di tempat kerja dapat dipantau dan dilaksanakan dengan lebih baik, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan mengerahkan lebih ramai kakitangan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) ke tapak-tapak kerja dan binaan.

Langkah tersebut yang diumumkan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, merupakan sebahagian daripada semakan yang akan dilakukan terhadap keperluan WSH sedia ada, sedang kes kecederaan dan kematian di tempat kerja meningkat kebelakangan ini.

Dalam pada itu, pemerintah juga bakal mengenakan denda lebih teruk terhadap kontraktor yang masih mengekalkan amalan kurang selamat di tempat kerja sementara memberikan peluang perniagaan lebih baik kepada mereka yang mempunyai rekod keselamatan baik, tambah Dr Tan.

Semakan terhadap syarat-syarat WSH sedia ada - yang tidak diubah selama lebih sedekad - tepat pada masanya, kata Dr Tan dalam mengumumkan langkah-langkah tersebut semasa Kempen Keselamatan dan Kesihatan Persatuan Kontraktor Singapura (SCAL) yang diadakan di Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Devan Nair semalam.

"Dengan lebih ramai kakitangan WSH yang dikerah ke tapak-tapak pembinaan, kontraktor dapat memenuhi keperluan WSH di tempat kerja dengan lebih baik.

"Melalui semakan ini, kami harap kontraktor dapat meraih manfaat dan bantuan dari kakitangan WSH yang terlatih dan berkemampuan," katanya.

Dr Tan turut mengiktiraf usaha syarikat yang menubuhkan pasukan kakitangan WSH yang lengkap bagi memastikan keselamatan di tempat kerja.

Semakan tersebut diumumkan selepas Singapura mencatatkan kematian ke-27 di tempat kerja tahun ini kelmarin yang melibatkan seorang pekerja binaan warga India berusia 32 tahun yang meninggal dunia selepas dihempap kren.

Pada masa itu, beliau sedang bekerja di tapak binaan yang dikendalikan China Construction (South Pacific) Development Co (CCDC), syarikat yang telah diletakkan di bawah pantauan MOM disebabkan satu lagi kematian yang dilaporkan Februari lalu.

Dua tahun lalu, sebanyak 30 kes kematian di tempat kerja dilaporkan sepanjang tahun.

Semakan yang diumumkan itu akan mempertimbangkan jumlah juruaudit, pegawai dan penyelaras WSH yang diperlukan demi mempertingkat pelaksanaan WSH di tempat kerja, kata Dr Tan.

"Kita perlu berusaha sedaya mungkin untuk mengelakkan daripada terkorbannya lebih banyak nyawa dan memastikan pekerja kami dapat pulang ke rumah dengan selamat untuk bertemu keluarga mereka," ujarnya.

Daripada 27 kematian di tempat kerja tahun ini, 10 daripadanya melibatkan sektor pembinaan, dan ini amat membimbangkan, tambah Dr Tan.

Beliau turut menekankan pentingnya usaha membantu syarikat kecil menjaga piawai WSH mereka, memandangkan enam daripada 10 kes kematian itu melibatkan syarikat atau projek lebih kecil.

Sebelum ini, MOM telah menaikkan denda bagi syarikat yang mempunyai rekod keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang tidak baik dan telah mengenakan saman hingga $5,000 bagi kesalahan yang didapati semasa pemeriksaan.

Syarikat yang dikenakan arahan berhenti kerja atau mempunyai pekerja yang mengalami kecederaan teruk juga perlu menyemak sistem sedia ada melalui juruaudit luar.

MOM juga mengumumkan sebelum ini bahawa ia telah menjalankan sekitar 25 peratus lebih banyak pemeriksaan pada suku kedua tahun ini berbanding suku pertama.

Dr Tan menambah kementerian tersebut juga mempertimbangkan langkah lain, seperti kriteria bagi memastikan syarikat dengan amalan tidak selamat tidak layak bersaing bagi kontrak pemerintah serta mengehadkan akses mereka terhadap tenaga kerja migran.

Syarikat juga perlu menggunakan lebih banyak teknologi bagi memantau keadaan dan amalan di tempat kerja mereka, termasuk memasang kamera kamera litar tertutup (CCTV), tambah Dr Tan.

Ini boleh membantu dari segi mengatasi kekurangan kakitangan untuk menyelia tapak-tapak pekerjaan, terutama sekali jika ia lengkap dengan analitik video yang dapat memberikan amaran jika berlakunya kejadian yang tidak selamat.

"Kami kini mempertimbangkan sama ada untuk menetapkan syarat memasang CCTV atau cara pemantauan lain yang di tapak pekerjaan pada masa hadapan," katanya, sambil menambah bahawa MOM akan bekerjasama dengan SCAL dalam pelaksanaan itu.

"Melalui semakan ini, kami harap kontraktor dapat meraih manfaat dan bantuan dari kakitangan WSH yang terlatih dan berkemampuan. Kita perlu berusaha sedaya mungkin untuk mengelakkan daripada terkorbannya lebih banyak nyawa dan memastikan pekerja kami dapat pulang ke rumah dengan selamat untuk bertemu keluarga mereka." - Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg