Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Dyson dinasihat beri notis awal pemberhentian kerja

Oct 12, 2024 | 7:54 PM
Ibu pejabat Dyson di St James Power Station.
Ibu pejabat Dyson di St James Power Station. - Foto ZAOBAO

Syarikat elektronik pengguna, Dyson, telah menerangkan kepada Kesatuan Sekerja Perusahaan Elektronik dan Elektrik (Uweei) sebab mereka tidak memberi notis lebih awal kepada kesatuan sekerja itu, selepas syarikat itu memaklumkan kepada Uweei hanya sehari sebelum jalankan pemberhentian sebilangan pekerja pada 1 Oktober.

Menerusi satu kenyataan pada 12 Oktober, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah mendekati kedua-dua Dyson dan Uweei untuk memperjelas isu yang menjadi keprihatinan dan kedua-dua pihak komited terus bekerjasama dengan semangat perikatan tiga pihak untuk menyokong keperluan pekerja dan perniagaan.

“Berdasarkan Nasihat Perikatan Tiga Pihak mengenai Pengurusan Lebihan Tenaga Kerja dan Pemberhentian Bertanggungjawab (Tamem), majikan dinasihatkan memberi notis awal kepada kesatuan sekerja sebelum melaksana pemberhentian kerja.

“Jika ditetapkan dalam Perjanjian Kolektif, adalah satu kelaziman untuk memaklumkan kesatuan sekerja sebulan sebelum memaklumkan pekerja,” kata MOM.

Tambahnya, pendekatan ini membolehkan kesatuan sekerja dan syarikat bekerjasama untuk menghulurkan sokongan kepada pekerja yang terjejas, termasuk dengan membantu mereka dapatkan khidmat penempatan kerja.

Dalam kes Dyson, MOM berkata pekerja yang diberhentikan merupakan golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang tidak menyertai kesatuan sekerja.

Oleh kerana mereka berada di luar skop perwakilan kolektif kesatuan sekerja, tempoh notis yang diberikan boleh dirundingkan.

Dyson juga telah kemukakan notis pemberhentian kerja mandatori kepada MOM dalam tempoh lima hari selepas memberitahu pekerja yang terjejas.

MOM berkata ini membolehkan Pasukan Bertindak bagi Pemberhentian Kerja Bertanggungjawab dan Pemudahan Pekerjaan (RTF) bekerjasama dengan Dyson untuk menawarkan khidmat pemudahan pekerjaan dan kit maklumat kepada pekerja yang terjejas.

Di samping itu, Uweei dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) juga sedang membantu pekerja yang telah menghubungi mereka.

Dyson turut memastikan bahawa manfaat yang diterima pekerja yang diberhentikan adalah sejajar dengan garis panduan Tamem selain menawarkan manfaat pemberhentian itu kepada pekerja yang berkhidmat kurang dua tahun dengan syarikat itu, kata MOM.

Pekerja yang terjejas juga menerima sokongan dan bantuan lain serta kaunseling kerjaya dan khidmat jurulatih kerjaya.

Menarik perhatian pentingnya hubungan antara majikan dengan kesatuan sekerja, MOM berkata:

“Adalah amalan yang baik bagi syarikat memberi notis awal kepada kesatuan sekerja kerana ini dapat memupuk rasa saling percaya antara majikan dengan kesatuan sekerja.”

Rakan perikatan tiga pihak termasuk MOM, Majikan Kebangsaan Singapura (Snef) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) juga telah bersetuju untuk membincangkan lagi pelaksanaan Seksyen 30A Akta Hubungan Perindustrian, yang memperkasa kesatuan sekerja mewakili eksekutif secara individu berhubung hal pemberhentian kerja melebihi skop perwakilannya dalam Perjanjian Kolektif, untuk meningkatkan perlindungan buat pekerja dan majikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg