Topik diikuti
Pergi ke BHkuApa yang perlu dilakukan pekerja yang uji positif ART tapi tiada simptom
Apa yang perlu dilakukan pekerja yang uji positif ART tapi tiada simptom
PEKERJA yang positif Covid-19 dalam ujian pantas antigen (ART) tetapi tidak menunjukkan gejala seperti demam, batuk atau hidung berair digesa untuk mengasingkan diri selama 72 jam dahulu dan tidak bergegas ke klinik doktor atau hospital. Semasa mengasingkan diri, individu ini boleh bekerja dari rumah tetapi jika mereka tidak boleh berbuat demikian, majikan harus memberi cuti berbayar tanpa sijil perubatan. Ini menurut surat makluman rakan tiga pihak termasuk pemerintah, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef), yang dikeluarkan Sabtu (25 Sep). Surat itu memberi panduan kepada majikan dan kakitangan berkenaan aturan kerja dan cuti sakit bagi kakitangan yang positif ART tetapi dalam keadaan baik. Individu ini tidak dinasihatkan untuk terus ke klinik atau hospital untuk membolehkan sumber penjagaan kesihatan diberikan kepada pesakit Covid-19 yang berisiko sakit teruk, menurut panduan itu.
"Kakitangan yang positif ART tetapi berada dalam keadaan baik dinasihatkan untuk mengasingkan diri di rumah selama 72 jam.
"Tidak perlu bagi kakitangan ini untuk menjalani ujian pengesahan reaksi rantai polimerase (PCR) selepas mendapat hasil positif ART yang pertama," menurut surat itu. Selepas 72 jam mengasingkan diri, kakitangan itu perlu mengulangi ART. Jika hasilnya negatif, kakitangan itu boleh kembali bekerja dan menjalani kegiatan harian. Namun, jika hasilnya positif, kakitangan itu perlu terus mengasingkan diri, dan mengambil ART setiap 24 jam hingga menerima hasil negatif.
Kakitangan juga harus segera memaklumkan majikan mereka jika mereka diuji positif dalam ART.
"Majikan tidak harus meminta kakitangan yang ART-positif tetapi dalam keadaan baik untuk melaporkan diri di tempat kerja.
"Kakitangan ini harus dibenarkan untuk kerja di rumah jika mereka boleh berbuat demikian. Jika tidak boleh kerja dari rumah, majikan perlu menganggap tempoh pekerja tidak hadir itu sebagai cuti sakit berbayar - sama ada sebagai cuti sakit pesakit luar berbayar atau cuti hospital berbayar, tanpa perlu sijil perubatan," menurut panduan itu.
Pekerja juga tidak harus diminta mengambil cuti tidak berbayar bagi tempoh pengasingan diri itu. Kakitangan itu boleh kembali ke tempat kerja apabila mereka mendapat keputusan negatif bagi ART. Kakitangan, yang tinggal serumah dengan individu ART positif tetapi dalam keadaan baik, juga harus memantau kesihatan mereka untuk 10 hari dan kerap melakukan ujian ART. Kakitangan lain yang merupakan kenalan rapat individu ini juga dinasihatkan perkara yang sama. Kakitangan ini tidak perlu disekat pergerakan mereka selagi ujian ART mereka negatif, tetapi mereka dinasihatkan untuk membataskan interaksi mereka seberapa boleh.