KELUARGA yang memerlukan sokongan penjagaan untuk beberapa jam dalam sehari atau seminggu akan punya lebih banyak pilihan bagi memenuhi keperluan keluarga mereka.
Mulai Rabu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan melancarkan program perintis selama dua tahun demi meluaskan skop Skim Perkhidmatan Keluarga (HSS) mereka.
Di antara khidmat yang akan ditawarkan oleh skim itu termasuk penjagaan asas kanak-kanak dan warga emas.
Syarikat-syarikat di bawah skim perintis itu boleh menggajikan lebih ramai pekerja migran untuk menyediakan khidmat sambilan sedemikian kepada keluarga yang memerlukannya.
Buat masa ini, sekitar 140 syarikat telah menyediakan khidmat itu kepada lebih 21,000 rumah di bawah program HSS.
Program itu telah dirintis pada 2017 dan dikekalkan pada September 2021.
Sebelum ini, ia menawarkan khidmat sambilan seperti membersihkan rumah, membeli keperluan dapur, mencuci kereta dan menjaga haiwan peliharaan.
Sebagai sebahagian daripada program yang diperluaskan itu, perkhidmatan asas yang ditawarkan untuk penjagaan kanak-kanak yang berusia 18 bulan ke atas termasuk membantu dalam memberi makanan, memakai pakaian dan menukar lampin.
Tugas lain yang dibenarkan termasuk melibatkan kanak-kanak itu dalam kegiatan pendidikan dan pembangunan.
Bagi pekerja yang memberikan khidmat dalam penjagaan warga emas, ia termasuk penjagaan diri seperti mandi, memakai pakaian dan memberi makan.
Bagi warga emas yang menggunakan kerusi roda pula, tugas untuk pekerja perkhidmatan itu termasuk mengangkat, meletakkan dan menggerakkan mereka dengan selamat.
MOM telah mendapatkan cadangan daripada syarikat-syarikat komersial bagi program perintis itu.
Sekitar 25 daripada mereka telah dipilih berdasarkan rekod prestasi mereka dan pengalaman relevan dalam khidmat pembersihan atau penjagaan di rumah.
Syarikat-syarikat itu mesti menyediakan langkah-langkah keselamatan sebelum mengerahkan pekerja mereka.
Mereka mesti menjalankan penilaian terhadap keperluan penjagaan keluarga, dan mendedahkan sepenuhnya pengalaman dan kelayakan relevan para pekerja mereka kepada keluarga yang mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Di samping itu, syarikat-syarikat juga perlu memastikan pekerja yang memberi perkhidmatan warga emas memenuhi keperluan latihan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH).
Jika mereka tidak mempunyai kelayakan yang relevan, mereka mesti mengikuti kursus latihan atau menjalani penilaian kecekapan.
Keluarga yang berminat untuk mendapatkan khidmat daripada syarikat-syarikat itu dinasihatkan supaya meminta syarikat tersebut mengemukakan pengalaman, kelayakan dan latihan para pekerja yang dikerah.
Mereka juga harus menilai kesesuaian pekerja itu untuk keperluan penjagaan keluarga tersebut.
Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Pendidikan), Cik Gan Siow Huang berkata:
"Dengan skop yang diperluas, syarikat yang terpilih akan mempunyai tenaga kerja tambahan bagi menawarkan khidmat penjagaan asas secara sambilan.
"Ini akan memberi keluarga lebih banyak pilihan untuk penjagaan sementara waktu.
"Kami berharap ini akan membantu rakyat Singapura mengimbangi komitmen kerja dan keluarga dengan lebih baik."
Cik Gan juga menambah bahawa program perintis itu akan dipantau, dan maklum balas daripada pihak keluarga dan syarikat perintis akan diambil untuk membuat keputusan jika ia berkesan, atau sama ada sebarang perubahan perlu dilakukan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg