KEMENTERIAN Tenaga Manusia (MOM) telah mula menerima semula permohonan kelulusan masuk bagi pembantu rumah migran.
Majikan dan agensi permohonan boleh memohon bagi kemasukan pembantu rumah migran yang sudah divaksinasi mula 1 November menerusi portal SafeTravel Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Permohonan boleh dibuat bagi ketibaan dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan. Butiran, termasuk maklumat pasport dan FIN pembantu rumah migran, maklumat vaksinasinya dan jadual perjalanan, perlu disediakan.
Kuota kelulusan masuk telah ditambah tetapi masih perlu diatur atas alasan kesihatan awam, kata Menteri Negara (Tenaga Manusia) Gan Siow Huang.
Dalam satu pos Facebook semalam, beliau berkata: "Kami akan memberi keutamaan kepada keluarga mempunyai keperluan penjagaan. Oleh kerana permintaan tinggi bagi kelulusan kemasukan, beberapa majikan mungkin tidak berjaya mendapatkan kelulusan dalam jangka masa terdekat.
"Kami akan mengkaji semula kuota kelulusan kemasukan apabila keadaan Covid-19 bertambah baik."
MOM berkata ia mungkin mengambil masa tiga bulan atau lebih sebelum pembantu rumah migran dapat memasuki Singapura.
Mereka yang memerlukan pembantu rumah segera dinasihatkan menimbangkan program komersial Persatuan Agensi Pekerjaan Singapura (AEAS), kata Cik Gan. Ia memudahkan kemasukan pembantu rumah migran dengan selamat dengan mengambil langkah pengurusan selamat tambahan di luar negara.
Pembantu rumah migran belum divaksinasi yang memasuki Singapura melalui program AEAS perlu menjalani regimen vaksinasi penuh dalam tempoh dua bulan setiba di sini.
Program itu dimulakan Julai lalu dan akan diluaskan bagi merangkumi lebih banyak negara. Pembantu rumah dari Filipina, Indonesia, Myanmar dan India kini dibawa masuk di bawah program itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg