“

MENTERI Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Ehwal Luar), Encik Chee Hong Tat, dalam satu catatan Facebook pada Sabtu (8 Ogos) berkata beliau faham tentang keprihatinan penduduk Bukit Panjang berhubung perubahan ke atas khidmat bas 171, 700 dan 972. Beliau telah menemui Anggota Parlimen (AP) SMC Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa, dan AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Edward Chia, serta beberapa penduduk Bukit Panjang untuk mendengar pandangan mereka tentang isu tersebut. Antara keprihatinan yang diutarakan termasuk kesan perubahan laluan khidmat bas 972 ke atas masa perjalanan penumpang. "Saya dan rakan kerja saya faham keprihatinan ini dan kami akan melakukan yang terbaik mungkin untuk mencari huraian. Saya ingin menyatakan bahawa huraian terakhir mungkin memerlukan beberapa tolak ansur antara kumpulan penumpang yang berbeza, dan kami meminta pemahaman semua orang tentang hal ini," katanya. Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan bekerjasama dengan penasihat akar umbi pada hujung minggu panjang ini untuk membincangkan langkah mitigasi. "Kami akan menilai pilihan berdasarkan keberkesanannya dalam menangani keprihatinan, serta kesan kewangannya untuk memastikan dana awam digunakan dengan cermat bagi memberi manfaat kepada seramai mungkin penumpang. Kami akan memberikan perkembangan terkini minggu depan," katanya.