LEBIH banyak bantuan perubatan akan dihulurkan untuk golongan yang memerlukan serta badan-badan amal Muslim setempat dalam operasi berkaitan perubatan.

Ini selepas satu perjanjian persefahaman memorandum (MOU) telah ditandatangani oleh Persatuan Derma Amanah Muslimin (MTFA) dan Wakaf Sherrifa Zain Alsharoff (SZA) pada Jumaat (27 Mei).

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Presiden MTFA, Encik Wasim Abdul Majeed dan pemegang amanah wakaf SZA, Encik Syed Mustafa Alsagoff, sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Dr Albakri Ahmad.

Di bawah perjanjian itu, mereka akan bekerjasama untuk menyediakan sokongan selama lima tahun dan bakal menyaksikan penubuhan dispensari keperluan ubatan bersubsidi yang dikenali sebagai Dispensari Al Taha.

Dispensari ini, yang dijayakan dengan menyalurkan pembiayaan oleh wakaf SZA bertujuan untuk memberi kembali kepada masyarakat dengan mengurangkan beban kewangan rawatan perubatan bagi penduduk berpendapatan rendah.

Mengulas tentang perjanjian yang baru dimeterai itu, Pengarah Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-aidaroos berkata:

"Kos perubatan yang tinggi bermakna pesakit masih perlu memikul beban yang berat, jadi kami berharap perkongsian dengan Wakaf Sherrifa Zain Alsharoff ini, memberikan bantuan kewangan akan meringankan beban mereka.

"Dengan 66 pesakit kami yang mendapatkan rawatan di Ihsan Kidney Care, kami juga ingin membantu lebih ramai keluarga dalam tempoh 5 tahun akan datang melalui perkongsian ini."