BAGI menangani keperluan Singapura yang semakin meningkat untuk mendapatkan khidmat profesional forensik kewangan, Jabatan Ehwal Komersial (CAD) telah menandatangani satu perjanjian baru bersama Institut Akauntan Bertauliah Singapura (ISCA) semalam.
Antara 2017 dengan 2021, polis menyiasat kira-kira 18,700 kes jenayah kolar putih melibatkan $4.49 bilion. Ia termasuk penipuan, pecah amanah jenayah, pemalsuan dan penipuan.
Sejak 2016, mangsa penipuan di sini kehilangan hampir $1 bilion, lapor The Straits Times.
Pihak berkuasa berkata perjanjian itu akan memajukan pembangunan forensik kewangan dan meluaskan kelompok bakat yang ada.
Ini akan membawa kepada pengesanan dan penyiasatan jenayah kewangan yang lebih baik.
Memorandum persefahaman (MOU) itu ditandatangani oleh Encik David Chew, Pengarah CAD Pasukan Polis Singapura, dan presiden ISCA, Encik Teo Ser Luck.
CAD ialah agensi siasatan jenayah kolar putih utama di Singapura manakala ISCA badan perakaunan nasional di sini.
Di bawah MOU itu, pihak berkuasa akan menyelaras proses bagi pegawai polis mendapatkan kelayakan Profesional Forensik Kewangan ISCA.
Program yang disesuaikan itu akan melengkapkan pegawai polis dengan kemahiran yang diperlukan bagi menyiasat jenayah kewangan, seperti menganalisis penyata kewangan dan mengurus risiko penipuan.
Encik Teo berkata: "Bagi memerangi jenayah kolar putih, kami memerlukan bakat mahir yang memahami perkembangan terkini dalam forensik kewangan dalam persekitaran yang semakin canggih dan berdaya teknologi.
"Kerjasama kami dengan CAD akan memperkaya kelompok bakat ini dan menyumbang kepada menegakkan kewibawaan Singapura sebagai pusat kewangan global dan hab perniagaan."
Dalam jawapan di Parlimen pada Oktober 2022, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata dengan pendigitalan dan kemajuan teknologi yang lebih besar, jumlah dan kerumitan jenayah kolar putih telah meningkat.
Beliau menekankan kepentingan perkongsian kukuh yang dibina oleh polis bersama bank, platform digital dan syarikat telekomunikasi untuk menangani jenayah itu.
Mengalu-alukan perkongsian dengan ISCA, Encik Chew berkata ia boleh menjadi pengorak perubahan dalam cara pihak berkuasa mengesan dan menyiasat jenayah kewangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg