Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MPA gesa orang ramai hati-hati di laut semasa musim monsun

Musim monsun mungkin bawa angin kencang, laut bergelora, hujan sederhana hingga lebat, serta kilat
Dec 2, 2024 | 3:39 PM
Orang ramai yang menyertai kegiatan di laut dinasihatkan agar mengambil langkah keselamatan yang sesuai semasa musim monsun ini.
Orang ramai yang menyertai kegiatan di laut dinasihatkan agar mengambil langkah keselamatan yang sesuai semasa musim monsun ini. - Foto ST

Orang awam yang terlibat dalam sukan air dan kegiatan lain di laut diingatkan supaya sentiasa berwaspada semasa musim monsun timur laut sekarang, yang dijangka berterusan hingga Mac 2025.

Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) berkata dalam satu kenyataan pada 2 Disember bahawa musim monsun mungkin membawa angin kencang, laut bergelora, hujan sederhana hingga lebat, serta peningkatan risiko kilat.

Orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah keselamatan yang sesuai semasa berada di laut – termasuk memakai jaket keselamatan bagi mereka yang menyertai kegiatan air seperti berkanu, berkayak, ski air, berlayar, dan meluncur angin.

Mereka turut dinasihatkan menyemak ramalan cuaca dan keadaan pasang surut, menjalankan pemeriksaan sebelum melakukan kegiatan air, mematuhi garis panduan keselamatan berkaitan, dan mengetahui protokol kecemasan, kata MPA.

Selain itu, mereka harus dilengkapi dengan peralatan keselamatan yang betul dan bertindak secara bertanggungjawab demi keselamatan diri sendiri dan orang yang berada di bawah jagaan mereka.

MPA juga mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan terlibat dalam kegiatan air semasa cuaca buruk, dengan mengatakan bahawa pengendali berhak untuk tidak memberi perkhidmatan kepada pelanggan yang dinilai akan membahayakan keselamatan diri sendiri atau orang lain.

Sementara itu, pengendali harus memastikan peralatan dan kenderaan air mereka berada dalam keadaan baik dan pelanggan mereka memakai jaket keselamatan sebelum memulakan aktiviti.

MPA turut menggesa penumpang yang menaiki feri dan kenderaan air lain supaya mengamalkan tabiat keselamatan yang baik seperti mengguna susur tangan ketika turun naik dari feri dan kapal, kekal duduk sepanjang pelayaran, serta mengenal pasti lokasi jaket keselamatan jika berlaku kecemasan.

MPA menggesa pengguna pelabuhan, termasuk pemilik kapal, pengendali, nakhoda, dan kru, supaya memastikan kapal dan kargo dijaga dengan baik di laut.

Peralatan memadam api dan menyelamat nyawa di kapal mesti diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan berfungsi, selaras dengan peraturan pelaburan antarabangsa dan tempatan.

Nakhoda dan kru perlu mengetahui prosedur keselamatan dan kecemasan, terutama semasa cuaca buruk.

Kapal harus mengekalkan had laju yang selamat, dan mematuhi peraturan pencegahan pelanggaran kapal, lapor The Straits Times (ST).

Semasa berlabuh, kru kapal antaranya perlu memantau cuaca, dan memakai jaket keselamatan semasa turun naik kapal.

Pegawai MPA akan menjalankan pemeriksaan tambahan ke atas feri, kapal pelabuhan dan kapal peranginan semasa musim monsun, termasuk memeriksa keadaan kapal serta peralatan memadam api dan menyelamat nyawa, serta tahap kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi keadaan kecemasan.

Keselamatan di laut adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama antara pemerintah, industri, dengan masyarakat untuk memupuk budaya kewaspadaan dan kesiapsiagaan, kata Pengerusi Majlis Keselamatan Maritim Negara, Encik Ishak Ismail.

Namun, beliau turut menekankan bahawa ia juga berkaitan dengan tanggungjawab peribadi.

“Saya menggalakkan mereka yang terlibat dalam kegiatan riadah di laut supaya sentiasa mendapatkan maklumat, bersedia untuk menghadapi kecemasan, dan memahami had (keselamatan) semasa menjalankan aktiviti ini,” tambah Encik Ishak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg