MPA siasat kapal Devon Bay yang karam di Laut China Selatan
MPA siasat kapal Devon Bay yang karam di Laut China Selatan
Kejadian libat kapal daftar S’pura; tiada warga berada di dalam kapal tersebut
BEIJING: Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) sedang menyiasat insiden kapal pengangkut pukal Devon Bay yang karam di Laut China Selatan pada 23 Januari dan meragut nyawa dua anak kapal.
Tiada warga Singapura berada di kapal yang didaftar di Singapura itu. Namun, empat lagi anak kapal masih belum dapat dijumpai, menurut kenyataan MPA kepada The Straits Times (ST) pada 23 Januari.
Kapal pengangkut pukal Devon Bay, yang dibina pada 2013 dan didaftar di Singapura, karam semasa berlayar ke Yangjiang, China.
MPA berkata 17 antara 21 anggota kru telah diselamatkan, menurut maklumat terkini yang sedia ada.
China dan Filipina pada 23 Januari menyatakan kededua negara telah melancarkan operasi menyelamat selepas menerima laporan mengenai sebuah kapal kargo yang berada dalam kecemasan, berhampiran dengan Scarborough Shoal di Laut China Selatan.
Kapal itu dilaporkan membawa 21 anak kapal warga Filipina.
Sebagai negara pendaftaran kapal, MPA berkata ia sedang berhubung dengan pemilik kapal dan pihak berkuasa berkaitan dengan operasi mencari dan menyelamat, serta memberikan bantuan yang diperlukan.
Tentera China berkata 17 anggota kru telah diselamatkan, dengan dua daripada anggota itu meninggal dunia.
Itu selepas pihaknya menerima laporan pada sekitar 1.30 pagi pada 23 Januari, bahawa sebuah kapal kargo asing karam di perairan berhampiran dengan Scarborough Shoal.
Tentera China mengerahkan pesawat untuk menjalankan operasi pencarian, manakala Pengawal Pantai China menghantar dua buah kapal untuk menjalankan usaha menyelamat.
Menurut kenyataan MPA, seorang individu telah menerima rawatan perubatan kecemasan, dan pihak berkuasa maritim China sedang mengatur pasukan penyelamat tambahan untuk dikerahkan ke kawasan itu.
Pengawal Pantai Filipina (PCG) pula berkata ia mengerahkan dua kapal dan dua pesawat untuk menyelamatkan anak kapal Filipina daripada kapal kargo itu yang membawa muatan bijih besi.
“Pusat Arahan PCG menerima maklumat daripada Pusat Pengaturan Keselamatan Maritim Hong Kong, bahawa 10 daripada 21 anak kapal Filipina telah diselamatkan oleh kapal Pengawal Pantai China yang sedang melalui perairan itu,” kata PCG.
Kemudian, PCG menambah bahawa lokasi terakhir kapal itu yang diketahui adalah 141 batu nautika di barat Teluk Ango, iaitu wilayah Panganisan di utara Filipina.
Ketika menjawab pertanyaan media, syarikat perkapalan yang mengendalikan kapal kargo tersebut, K Line, menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan orang tersayang dua anak kapal yang terkorban.
K Line juga sedang berusaha menghubungi ahli keluarga anak kapal bagi menyalurkan sokongan yang diperlukan.
Syarikat itu menambah bahawa pasukan tindak balas kecemasannya telah ditugaskan untuk mencari empat lagi anak kapal yang belum ditemui.
Pasukan itu kekal berhubung dengan pihak berkuasa serta pihak berkepentingan yang berkaitan.
K Line turut berkata kapal yang berada berhampiran dengan kapal kargo yang ditimpa musibah, termasuk kapal-kapal di bawah kendalian K Line, sudah tiba atau sedang dalam perjalanan ke kawasan berkenaan untuk membantu dengan usaha mencari dan menyelamat.
Scarborough Shoal merupakan salah satu kawasan maritim yang paling dipertikaikan di Asia dan sering mendapat tumpuan dalam pertikaian berkaitan dengan kedaulatan serta hak perikanan.
Pada 20 Januari, tentera China berkata ia telah mengatur unit tentera laut dan udara untuk menghalau sebuah pesawat Filipina yang dituduh memasuki ruang udara di atas kawasan tersebut secara haram.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam. – Agensi berita.

