Topik diikuti
Pergi ke BHkuMPA:Tompokan minyak dikesan di perairan selatan S’pura
MPA:Tompokan minyak dikesan di perairan selatan S’pura
Tompokan minyak dikesan di perairan selatan Singapura dekat Pulau Sebarok, Pulau Semakau dan Selat Pauh, menurut Penguasa Kelautan dan Pelabuhan (MPA), sambil menambah bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat punca tumpahan minyak tersebut.
Dalam satu kenyataan pada 1 November, MPA berkata ia dimaklumkan mengenai penemuan tompokan minyak di perairan dekat Pulau Sebarok itu pada sekitar 10.25 pagi, 1 November.
Pemantauan dari udara oleh MPA kemudiannya mengesahkan kewujudan beberapa tompokan minyak di perairan dekat Pulau Sebarok, Pulau Semakau dan Selat Pauh.
Tiada tompokan minyak dikesan di sekitar West Coast, Sentosa, Kepulauan Selatan dan East Coast, tambah MPA.
Agensi itu menyatakan bahawa kontraktor tindak balas tumpahan minyak telah diaktifkan, manakala terminal di kawasan berkenaan telah diarahkan untuk mengerahkan sumber tindak balas tumpahan masing-masing.
Agensi berkaitan turut dimaklumkan bagi mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi kawasan pesisir pantai sekiranya perlu.
MPA memaklumkan bahawa beberapa kapal juga telah diminta melaporkan sebarang penemuan tompokan minyak.
Ia menambah bahawa tiada gangguan terhadap lalu lintas pelayaran mahupun operasi pelabuhan.
“MPA sedang meneruskan pemantauan, bekerjasama dengan pelbagai agensi dan terminal bagi membendung serta membersihkan tompokan minyak, di samping menyiasat punca minyak tersebut,” kata MPA.
Pulau Semakau menempatkan satu-satunya tapak pelupusan sampah aktif di Singapura dan terletak kira-kira lapan kilometer (km) di selatan tanah besar.
Selat Pauh, sebuah laluan laut yang sempit, terletak berhampiran pulau tersebut.
Pulau Sebarok pula terletak kira-kira 3 km dari Pulau Semakau dan ia berfungsi sebagai hab utama penyimpanan dan terminal minyak.
Pada 2024, pelanggaran antara dua kapal berhampiran Terminal Pasir Panjang telah mengakibatkan kebocoran 400 tan minyak, dengan tompokan minyak dikesan di beberapa kawasan pantai termasuk Kawasan Simpanan Alam Semula Jadi Labrador, Sentosa dan Taman East Coast.
Ia merupakan insiden tumpahan minyak terburuk di Singapura dalam tempoh sedekad.