Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MSF: Dana CDA tidak boleh diguna di kedai optik, farmasi runcit mulai 1 Jan

Perubahan tidak jejas farmasi dalam institusi kesihatan, seperti hospital, poliklinik 
Oct 1, 2025 | 7:57 PM
Siasatan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mendedahkan kes dana Akaun Pembangunan Anak (CDA) digunakan untuk pembelian bagi orang dewasa, dan bukan untuk kegunaan anak atau adik-beradik mereka.
Siasatan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mendedahkan kes dana Akaun Pembangunan Anak (CDA) digunakan untuk pembelian bagi orang dewasa, dan bukan untuk kegunaan anak atau adik-beradik mereka. - Foto fail

Mulai 1 Januari 2026, ibu bapa dan pemegang amanah tidak boleh lagi menggunakan dana Akaun Pembangunan Anak (CDA) di kedai optik dan farmasi runcit, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Dalam kenyataan pada 1 Oktober, MSF memaklumkan hasil audit yang dijalankan Pejabat Juruaudit Negara (AGO) terhadap pengeluaran dana CDA oleh ibu bapa dan pemegang amanah di bawah Skim Bonus Bayi menunjukkan penyimpanan rekod yang lemah.

Selain itu, terdapat corak pengeluaran dana yang luar biasa di kedai optik dan farmasi runcit.

Berdasarkan pemeriksaan MSF, ini termasuk pengeluaran dana secara kerap dalam tempoh singkat dan pembelian barangan yang dilihat seperti bukan untuk anak atau adik-beradik mereka, yang dilakukan di sebuah kedai optik dan farmasi berbeza, kata MSF.

Farmasi runcit merujuk kepada kedai farmasi berlesen yang membekalkan ubat preskripsi dan produk berkaitan kesihatan, termasuk yang terletak di ruang komersial seperti pusat beli-belah.

Siasatan susulan MSF mendedahkan kes dana CDA digunakan untuk pembelian bagi orang dewasa, dan bukan untuk kegunaan anak atau adik-beradik mereka, lapor The Straits Times (ST).

MSF menambah terdapat juga kes apabila premis-premis tersebut membenarkan atau membantu ibu bapa atau pemegang amanah untuk menukar dana CDA menjadi tunai, meskipun tindakan itu tidak dibenarkan.

Dapatan itu disokong oleh audit dalaman MSF ke atas 30 kedai optik pada 2024, yang mendapati lebih 85 peratus daripada premis yang diaudit mempunyai pembelian serupa, yang tidak dibenarkan.

“Penemuan ini menunjukkan terdapat risiko penyalahgunaan yang jauh lebih tinggi di kedai optik dan farmasi runcit,” kata MSF.

“Beberapa orang peniaga juga memberi maklum balas adalah mencabar dan sukar melaksanakan pemeriksaan di titik jualan (POS) bagi urus niaga menggunakan CDA, memandangkan sifat perniagaan runcit mereka.”

Kedai optik dan farmasi runcit yang kini berdaftar sebagai Institusi Bonus Bayi yang Diluluskan masih boleh menerima pembayaran menggunakan CDA.

Namun, semua urus niaga mesti dilakukan sebelum 31 Disember, kerana pembayaran CDA tidak akan diterima mulai 1 Januari 2026.

Perubahan itu tidak menjejas farmasi yang terdapat dalam institusi kesihatan, seperti hospital dan poliklinik. 

Menurut MSF, dana CDA masih boleh digunakan untuk ubat preskripsi dan yuran perundingan di hospital, poliklinik dan klinik perubatan umum (GP) yang merupakan Institusi Bonus Bayi yang Diluluskan.

CDA ditubuhkan pada 2001 sebagai akaun simpanan khas bersama yang digunakan bagi pembangunan dan pendidikan anak.

Dana dalam CDA boleh digunakan untuk perbelanjaan yang diluluskan di Institusi Bonus Bayi yang Diluluskan bagi manfaat anak, atau adik-beradik mereka.

Mulai 1 Mei, skop penggunaan CDA diperluas untuk merangkumi caj berkaitan di prasekolah bagi memenuhi keperluan keluarga dengan lebih baik, serta menyokong penyertaan anak dalam pelbagai kegiatan pembangunan.

“Pemerintah akan terus meneliti pentadbiran CDA bagi memastikan skim ini kekal relevan dan mencapai tujuan utamanya untuk memberi manfaat kepada anak-anak serta adik-beradik mereka,” kata MSF.

Maklumat lanjut mengenai Skim Bonus Bayi dan penggunaan CDA boleh didapati di laman web Bonus Bayi di go.gov.sg/bbo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg