Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MSF perkukuh protokol perlindungan kanak-kanak selepas budak perempuan lima tahun didera bapa hingga mati

May 10, 2024 | 5:46 PM
Antara Oktober 2016 dan Ogos 2017, dua anak lelaki itu – Ayeesha dan adik lelakinya – terkurung dalam tandas dan hanya dibenarkan keluar untuk makan.
Antara Oktober 2016 dan Ogos 2017, dua anak lelaki itu – Ayeesha dan adik lelakinya – terkurung dalam tandas dan hanya dibenarkan keluar untuk makan. - Foto Dokumen mahkamah

Selepas seorang budak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia akibat tidak cukup makan dan dikurung dalam tandas selama 10 bulan serta didera oleh bapanya, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) telah mengambil pelbagai langkah untuk mengukuhkan sistem perlindungan kanak-kanak.

Ini termasuk memperkukuh panduan bagi pekerja kes di Pusat Khidmat Keluarga (FSC) untuk melihat, secara peribadi, ahli keluarga yang terdedah kepada bahaya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka, dan memantau kanak-kanak yang didera selepas mereka dibenarkan pulang daripada jagaan alternatif ke pangkuan keluarga.

Ayeesha, budak perempuan lima tahun itu, mempunyai seorang adik lelaki yang turut didera teruk oleh bapa mereka.

Budak lelaki itu dan empat adik-beradik tirinya – anak-anak daripada perkahwinan kedua bapa mereka, dan seorang anak ibu tiri mereka daripada perkahwinan sebelumnya – telah ditempatkan dalam jagaan alternatif oleh Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak MSF, kata seorang jurucakap MSF kepada The Straits Times pada 10 Mei. 

Jagaan alternatif bermakna bahawa kanak-kanak boleh ditempatkan di bawah jagaan keluarga dan kawan-kawan, jagaan keluarga titipan, atau di rumah kebajikan kanak-kanak.

Pada 30 April, bapa Ayeesha dijatuhi hukuman penjara 34 tahun setengah dan 12 sebatan kerana membunuhnya serta menderanya dan adik lelakinya.

Ayeesha meninggal dunia akibat kecederaan kepala pada 2017 selepas bapanya yang berusia 44 tahun memukul mukanya sehingga 20 kali.

Dia juga memberikan dua anaknya makanan yang sangat sedikit sehingga mereka makan najis dan isi tilam sepanjang dua tahun mereka didera. Ayeesha hanya seberat 13.2 kilogram apabila dia meninggal dunia.

Hakim menarik balik perintah larangan pada nama pertamanya “supaya masyarakat dapat mengingatinya”.

Kededua mereka pada awalnya ditempatkan di bawah jagaan titipan pada Jun 2014 selepas ibu bapa mereka bercerai, dan kakitangan FSC Thye Hua Kwan (THK) FSC @ Tanjong Pagar memantau kebajikan mereka selepas mereka pulang untuk tinggal bersama bapa dan ibu tiri mereka pada awal 2015.

Namun, lelaki itu berbohong berulang kali tentang aturan penjagaan anak-anaknya dan di mana mereka berada.

Ada ketikanya, kakitangan FSC tidak dapat menghubungi lelaki itu walaupun telah menghubunginya berulang kali dan pergi ke flatnya.

Selama sekitar dua tahun sehingga Ayeesha meninggal dunia pada Ogos 2017, kanak-kanak itu tidak dilihat oleh mana-mana pegawai kes dan tidak pergi ke sekolah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg