Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MSF teliti perbuatan anak paksa ibu bapa jual aset

Jul 22, 2023 | 2:15 PM
LINDUNGI WARGA EMAS: MSF sedang kaji masalah salah guna kewangan warga emas.
LINDUNGI WARGA EMAS: MSF sedang kaji masalah salah guna kewangan warga emas. - Foto ZAOBAO

Warga emas yang dipaksa anak mereka untuk menjual aset mereka – demi faedah anak mereka tetapi merugikan warga emas itu – adalah satu isu yang kian sering dibangkitkan pekerja sosial dan pihak berkepentingan lain.

Oleh itu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sedang bekerjasama dengan rakan kongsinya dan pihak berkepentingan berkaitan untuk mengkaji masalah penyalahgunaan kewangan dengan lebih lanjut.

Jurucakap MSF memberitahu The Straits Times (ST): “Penyalahgunaan kewangan warga tua adalah satu isu kompleks yang tertakluk kepada tafsiran berbeza.

“Wang dan hadiah sering bertukar tangan antara ahli keluarga, yang mungkin membuat perbezaan antara keputusan kewangan yang tidak bijak dengan penyalahgunaan kewangan menjadi kurang jelas.”

Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, menekankan masalah penyalahgunaan kewangan apabila Rang Undang-undang Piagam Wanita (Keganasan Keluarga dan Perkara Lain) (Pindaan) diluluskan pada 4 Julai lalu.

Beliau berkata MSF telah menimbangkan sama ada untuk memasukkan penyalahgunaan kewangan dalam takrifan keganasan keluarga, tetapi ini memerlukan kajian lanjut kerana ia adalah isu kompleks.

Dalam ucapan Parlimennya, Cik Sun juga berkata MSF bersedia menimbangkan kemungkinan menggubal Akta Keganasan Rumah Tangga yang berdiri secara sendiri pada masa hadapan, untuk meningkatkan perlindungan bagi mereka yang berada dalam hubungan intim bukan keluarga, seperti mereka yang belum berkahwin.

Cik Sun memberitahu bahawa sebilangan orang awam telah membangkitkan isu itu semasa rundingan awam tentang cara menangani keganasan keluarga dengan lebih baik. Oleh itu, MSF berhasrat melibatkan pihak berkepentingan berkaitan dan ia akan berkongsi butiran lanjut apabila mereka bersedia.

Beliau berkata pusat-pusat yang pakar dalam menangani keganasan keluarga, dipanggil Pusat Pakar Perlindungan, menawarkan sokongan kepada mangsa keganasan dalam kedua-dua hubungan kekeluargaan dan bukan keluarga.

Seorang jurucakap MSF berkata pada penghujung 2021, Pusat Pakar Perlindungan memperluas perkhidmatannya untuk menangani kes keganasan seksual bukan keluarga.

Bentuk penderaan biasa yang dihadapi bukan anggota keluarga dalam hubungan intim termasuk penderaan fizikal, emosi dan psikologi.

Mangsa seperti itu boleh memohon perintah perlindungan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (Poha).

Sama seperti perintah perlindungan peribadi di bawah Piagam Wanita, pesalah yang melanggar perintah perlindungan di bawah Poha boleh didenda atau dipenjarakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg