Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia Fest 2026 saji buah eksotik, makanan, hiburan
M’sia Fest 2026 saji buah eksotik, makanan, hiburan
343 reruai sedia aneka tarikan
M’sia Fest 2026 saji buah eksotik, makanan, hiburan
Daripada menikmati buah-buahan Malaysia yang jarang ditemui, hinggalah menyelami warisan budaya negara itu yang kaya.
Para pengunjung dapat merasai keunikan Malaysia apabila Malaysia Fest 2026 kembali ke Singapore Expo dari 30 Julai hingga 2 Ogos in di Singapore Expo Dewan 5A & 5B.
Dianjurkan oleh MegaXpress International Pte Ltd dengan sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), pesta itu bakal menampilkan 343 reruai usahawan tempatan dan luar negara yang menawarkan buah-buahan eksotik, makanan, produk gaya hidup, pameran kebudayaan dan pelancongan.
Jumlah ini merupakan 20 peratus lebih reruai berbanding 2025.
Sekitar 100 daripada keseluruhan reruai itu merupakan usahawan yang membuat penampilan sulung, sekali gus menyediakan produk dan pengalaman yang baharu.
Edisi kesembilan Malaysia Fest 2026 memberi tumpuan kepada Johor Bahru, Sabah dan Terengganu.
Orang ramai yang menggemari buah-buahan eksotik berpeluang merasai buah tarap (sejenis nangka) dari Sabah dan limau susu serta longan kristal dari Sarawak.
Mereka juga boleh merasai sajian Johor Bahru seperti ciku mega, yang menawarkan rasa manis dengan gabungan perisa karamel dan buah pear, tanpa perlu menyeberang Koswe.
Juga tersedia ialah nasi dagang dan keropok lekor ganu yang terkenal di Terengganu.
Acara akan bermula dari 10 pagi hingga 10 malam, dengan tujuan membawa keunikan Malaysia lebih dekat dengan rakyat Singapura, selaras dengan tema ‘Mari Teroka Keajaiban Malaysia’.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), pengarah urusan MegaXpress International Pte Ltd, Encik Hamzah Abdullah, berkata mereka mengharapkan sambutan yang amat menggalakkan daripada warga Singapura terhadap festival itu.
“Kami berharap dapat menarik kehadiran sehingga 200,000 pengunjung sepanjang acara empat hari ini.
“Warga Singapura memang gemar makan, wisata dan juga melancong. Malaysia Fest bertujuan memenuhi minat mendalam masyarakat di sini.
“Sementara itu, kami juga ingin memperkenalkan usahawan baharu dari Malaysia kepada warga Singapura,” katanya.
Pesta tersebut sebelum ini dikenali sebagai Malaysia Fresh Fruit Fiesta (M3F), yang pertama kali diadakan pada 2004. Ia dijenamakan semula kepada Malaysia Fest pada 2016.
Selain reruai makanan dan buah-buahan, mereka yang minat makan angin boleh melawat Zon Travel untuk meneroka pelbagai pakej percutian ke destinasi popular di rantau ini, yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia.
Turut hadir untuk memeriahkan acara itu ialah Pavilion Tourism Malaysia, Fama, Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah.
Terdapat juga pelbagai persembahan tarian, seni budaya dan demonstrasi kraf tangan yang melambangkan kebudayaan unik setiap negeri.
Para pengunjung juga boleh menyertai pelbagai kegiatan sampingan seperti demonstrasi masakan dan ceramah interaktif.
Ia termasuk sesi ceramah mengenai rumah tangga, kerohanian dan kesihatan yang dianjurkan oleh Masjid Ar-Raudhah bagi kutipan dana mereka.
Selain itu, pengunjung juga boleh menyertai sesi senaman Muslimah, pertandingan azan, bacaan Al-Quran, qasidah dan forum bersama oleh asatizah, doktor dan peguam.
Mereka juga boleh mendapatkan fesyen dan pakaian terkini di pavilion Jenama Dalam Talian Popular Malaysia.
Bagi yang gemarkan hiburan, mereka berpeluang menyaksikan kehadiran lebih 30 pempengaruh media sosial dan selebriti.
Usahawan selebriti Malaysia, Datuk Seri Vida, akan hadir pada 8 malam 31 Julai. Beberapa pelakon Malaysia seperti Jasmin Hamid, Riz Amin dan ramai lagi juga bakal membuat penampilan.
Penghibur tempatan seperti Roslan Shah turut akan turun padang pada 8 malam 1 Ogos pula, di samping Dato Seri Aliff Syukri, Datin Seri Shahida dan Diva AA.
Akhirnya, pengunjung juga boleh menyertai cabutan bertuah. Kemasukan adalah percuma.