Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MTFA mahu kumpul derma $100,000 untuk beli van jenazah baru

Dec 10, 2021 | 5:30 AM
VAN JENAZAH LAMA: COE bagi satu-satunya van jenazah sedia ada MTFA akan luput dalam empat bulan. Ia memerlukan van jenazah baru bagi meneruskan khidmat mengurus dan mengebumikan jenazah Muslim memerlukan yang disediakannya secara percuma. - Foto MTFA
VAN JENAZAH LAMA: COE bagi satu-satunya van jenazah sedia ada MTFA akan luput dalam empat bulan. Ia memerlukan van jenazah baru bagi meneruskan khidmat mengurus dan mengebumikan jenazah Muslim memerlukan yang disediakannya secara percuma. - Foto MTFA -

SEBANYAK $100,000 diharap dapat dikumpul Persatuan Derma Amanah Muslimin (MTFA) untuk membeli sebuah van jenazah baru bagi menggantikan satu-satunya van jenazah yang dimilikinya sekarang.

Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) van jenazah tersebut, yang telah didermakan kepada MTFA, akan luput dalam empat bulan.

Pengumpulan dana bermula 1 Disember lalu dan akan berakhir pada minggu terakhir Januari 2022.

Sejauh ini, sebanyak 40 peratus darpada jumlah sasaran itu telah dikumpulkan hasil sumbangan daripada masyarakat, menurut MTFA.

Pengurusan jenazah bukan perkara asing bagi badan tidak mencari untung itu, yang sudah melakukannya sejak 1904.

Jenazah Muslim yang tidak dituntut, yang tidak mempunyai anggota keluarga atau saudara-mara di Singapura atau jenazah golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu membiayai kos pengurusan jenazah akan diuruskan dan dikebumikan oleh MTFA secara percuma.

Anggota badan yang tidak dituntut dan janin yang ditinggalkan di hospital juga diuruskan dan dikebumikan oleh MTFA.

Sejak lima tahun lalu, sebanyak 4,891 pengebumian dilakukan persatuan itu.

"Semua Muslim berhak dikebumikan dengan baik tidak kira betapa susah keadaan kehidupan peribadi mereka.

"Dengan van jenazah baru hasil sumbangan orang ramai yang akan digunakan anak syarikat bukan mencari untung kami, Ihsan Casket, kami dapat mengurangkan dengan ketara kos operasi untuk perkhidmatan amal ini supaya lebih ramai orang Islam kurang bernasib baik di Singapura dapat menerima bantuan ini," kata Pengarah Eksekutif MTFA, Dr Abdul Qader Al-aidaroos.

Untuk menderma dan bagi maklumat lanjut, sila lungsuri www.mtfa.org/fundraising.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg