Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) sedang menimbangkan kawasan Jurong dan Bedok bagi menambah pusat rawatan dialisis di bawah Ihsan Kidney Care (IKC) untuk pesakit ginjal.
Menyatakan demikian kepada Berita Harian (BH), presiden MTFA yang dipilih semula, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah berkata pihaknya ingin terus meningkatkan jumlah pesakit yang mampu menerima rawatan dialisis dan membuat perkhidmatan itu lebih mudah diakses.
Kini, sekitar 456 pesakit menerima rawatan dialisis melalui Ihsan Kidney Care (IKC), menurut laman web MTFA.
“Kini, kami ada tiga pusat rawatan terletak di Yishun, Henderson dan Serangoon.
“Kami bercadang untuk membuka dua lagi cawangan di lokasi strategik di kawasan Timur dan Barat, yang mempunyai lebih ramai penduduk Islam,” jelas Encik Abdul Rahman, seorang peguam.
Encik Abdul Rahman dipilih semula selaku presiden MTFA bagi penggal kedua, menurut satu hantaran Facebook oleh MTFA pada 25 Oktober.
Pemilihan semula itu menandakan tahun ke-14 beliau berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah persatuan itu.
Dalam hantaran Facebook beliau, Encik Abdul Rahman menyatakan beliau berhasrat untuk menyumbang kepada legasi MTFA selama 121 tahun untuk penggal kedua dan terakhirnya sebagai presiden.
Beliau akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh bantuan kesihatan dan rumah anak yatim, serta aliran pendapatan persatuan.
Selain itu, Encik Abdul Rahman berkongsi keinginan untuk terus meningkatkan kecemerlangan kededua rumah anak yatim Darul Ihsan.
Beliau berkata: “Di Darul Ihsan, kami telah meningkatkan kapasiti daripada 30 kepada 40 (anak yatim).
“Bagi Darul Ihsan Lilbanat, kami dalam proses menambah kapasiti (rumah anak yatim) itu daripada 30 kepada 60 (anak yatim).
“Kami berharap dapat memperluaskannya lagi dengan memperoleh premis baru.”
Encik Abdul Rahman turut menekankan kepentingan mengembangkan pendapatan MTFA demi membantu masyarakat dengan lebih lancar.
“Bagi pertumbuhan pendapatan, kami telah mengamalkan model perniagaan sosial untuk menyokong inisiatif kami.
“Misalnya, kami mempunyai perkhidmatan pengebumian percuma melalui MTFA Ihsan Casket, sebuah perniagaan sosial yang menjana pendapatan untuk menampung kos dan perbelanjaan perkhidmatan percuma kami untuk golongan yang memerlukan,” jelas Encik Abdul Rahman.
Beliau juga ingin memanfaatkan geran kementerian dengan lebih efektif.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli lembaga pengarah atas sokongan dan sumbangan mereka yang tidak pernah luntur dalam memegang jawatan ini, walaupun sering kali tidak disedari,” kata Encik Abdul Rahman, yang juga pengarah urusan Abdul Rahman Law Corporation atau ARLC. – Luqmanul Hakim Ismail


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg