MUFTI Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, telah mengesahkan bahawa masyarakat Islam di negara ini akan mula berpuasa esok, selepas beliau mengisytiharkan bermulanya 1 Ramadan bersamaan 24 April 2020.
"Mengikut kiraan hisab, anak bulan ada di ufuk Singapura setelah matahari terbenam petang tadi selama 17 minit. Sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan jatuh pada esok, Jumaat bersamaan 24 April 2020," katanya.
Lebih mencabar, masyarakat Islam kali ini katanya, menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak dalam suasana yang sangat luar biasa.
"Negara kita, bahkan seluruh dunia, sedang memerangi penularan wabak Covid-19. Di samping kita menjalani ibadah puasa, kita juga memainkan peranan yang sangat ketara dengan duduk di rumah untuk mengelakkan jangkitan virus yang merbahaya ini. Maka tahun ini, kita akan menyambut Ramadan dan Hari Raya tahun ini bersama keluarga di rumah masing-masing," ujarnya.
Dr Nazirudin dalam ucapannya juga menyatakan, seberat mana sekalipun ujian ini, beliau melahirkan keyakinan masyarakat Muslim di sini mampu menerima dan mengatasinya dengan izin Allah swt. Apatah lagi dengan ketibaan Ramadan yang sememangnya satu bulan perjuangan, dan kemuncak kesabaran, ketabahan, dan pengharapan.
"Saya mengajak anda sekalian untuk menggunakan kekuatan iman dan kerohanian yang dibina di dalam Ramadan untuk membulatkan tekad kita mengalahkan musuh virus ini. Yakinilah, ujian ini juga akhirnya akan berlalu. Berkat kesabaran dan perpaduan, kita akan berjaya dan bersama mengatasinya.
"Saya berdoa agar Allah S.W.T. merahmati keluarga anda, dan menerima segala amal kebaikan yang anda usahakan untuk menghidupkan Ramadan yang istimewa ini, katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg