Adalah penting untuk membuat persediaan awal dalam menangani perubahan landskap pemikiran agama serta memperkasa kepimpinan agama agar ia terus menjadi rujukan utama dalam menentukan hala tuju serta membentuk masa depan masyarakat dalam kehidupan beragama mereka.
Demikian dikatakan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir semasa berucap di Program Lawatan Al-Imam Al-Akhbar Al-Seikh Profesor Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayeb Sheikhul Azhar Al-Sharif ke Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kuala Lumpur pada 3 Julai.
Mufti berkata, sangat penting untuk memajukan pemikiran agama bagi persiapan masa hadapan, lebih-lebih lagi dengan timbulnya isu-isu baru yang lebih rumit.
“Dalam menghadapi cabaran lebih rumit, kita perlu membina pemikiran agama yang yakin dan matang dalam menangani isu-isu masa hadapan,” katanya.
Bahkan, terdapat keperluan untuk memikirkan terlebih dahulu masalah atau isu yang mungkin timbul serta cabaran yang datang dengannya, tambah beliau.
Memberi contoh di Singapura, Dr Nazirudin berkata beliau telah memperkenal inisiatif Makmal Fatwa yang “mengkaji isu yang baru sahaja berlaku atau... bibit-bibit perkembangannya mula ternampak”.
“Apakah kesan perkembangan tersebut terhadap kehidupan beragama? Apakah persoalan-persoalan berkaitan hukum, berkaitan syariah yang akan timbul daripada aspek tersebut?
“Kita tidak menantikan isu itu menjadi sarat dalam masyarakat baru kita nak cari huraian,” ujar beliau.
Dalam ucapannya juga, Mufti menekankan kepentingan membina kepimpinan agama yang profesional.
Ini kerana golongan tersebut memainkan peranan amat besar dalam masyarakat.
“Guru agama, para ulama... mereka mempunyai peranan yang jauh lebih besar... Kata-kata mereka ini sangat berpengaruh, ia boleh membentuk masyarakat tersebut dalam menerima atau menolak perkembangan, bersikap dengan sikap yang baik atau sebaliknya.
“Dengan itu kita perlu membantu golongan agamawan menjadi golongan yang lebih tinggi profesionalisme mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Nazirudin akur dengan perkembangan teknologi dan media sosial hari ini, kuasa kepimpinan agama boleh beralih secara beransur-ansur.
“Kalau dahulu umat Islam merujuk kepada pakar agama, guru agama, asatizah dan ulama, menghormati para ulama, yakin dengan ilmu dan nasihat mereka, sekarang mereka boleh bypass (pintas) dengan begitu cepat dan mudah dengan wujudnya pelbagai teknologi yang membolehkan rujukan yang lebih cepat dan langsung.
“Ini juga bermaksud tidak mustahil bagi pihak berkuasa agama yang telah lama wujud menjadi lemah dan beransur-ansur digantikan dengan pengaruh-pengaruh baru,” ujarnya lagi.
Oleh itu, beliau menegaskan Muis tidak boleh mengandaikan bahawa ia akan wujud selama-lamanya dan Muftinya akan sentiasa menjadi rujukan utama.
“Itu adalah satu andaian yang hari ini semakin lama semakin terancam. Kecuali jika kita buat persiapan yang rapi dan awal dalam menangani landskap pemikiran agama yang baru.
“Jadi, kita harus bersiap sedia memperkasa kepimpinan agama hari ini agar ia dapat terus menjadi rujukan utama menentukan arah dan mencorak masa depan masyarakat dalam kehidupan beragama mereka,” kata Dr Nazirudin.
“
“Tidak mustahil bagi pihak berkuasa agama yang telah lama wujud menjadi lemah dan beransur-ansur digantikan dengan pengaruh-pengaruh baru... Jadi, kita harus bersiap sedia memperkasa kepimpinan agama hari ini agar ia dapat terus menjadi rujukan utama menentukan arah dan mencorak masa depan masyarakat dalam kehidupan beragama mereka.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg