OLEH kerana setiap masyarakat Muslim di serata dunia berbeza, ia penting untuk memahami tradisi agama berdasarkan konteks, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir yang menggulung Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang (ICCOS) semalam di Pusat Konvensyen Raffles City.
"Setiap daripada kita datang daripada konteks yang amat berbeza, dan kita perlu menghasilkan huraian kita sendiri. Namun, perkara utama adalah sama, iaitu tradisi keagamaan berdasarkan konteks, bagaimana kita memahami dalam konteks itu apa tanggungjawab beretika kita, bagaimana kita merealisasikan kehidupan bersama...
"Ramai di antara rakan kami membincangkan tentang kemahiran dan keupayaan baru untuk dunia moden untuk mengatasi cabaran kontemporari... juga tentang kepimpinan, bagaimana kita memperkukuh idea kewarganegaraan dan bagaimana kita memperkukuh ruang bersama yang kita ada dalam masyarakat kita," ujarnya.
Dalam persidangan dua hari itu, Dr Nazirudin berkata kekata yang kerap diulangi termasuk kehidupan bersama, hormat, pengetahuan, dialog, penyesuaian konteks, kecekapan dan peranan wanita.
"Ini semua memberi lambang kepada kita tentang nilai penting yang mula bertumpu dalam perbualan dan perbincangan kita di persidangan ini," ujarnya.
Beliau meluahkan penghargaan kepada mereka yang hadir, serta mereka yang menjayakan persidangan tersebut.
Menurutnya, persidangan tersebut memberi harapan supaya perbincangan, penghasilan idea, dan perdebatan dapat diteruskan dan dihidupkan dalam cara yang betul.
"Kami berharap tenaga ini akan berterusan dan paling penting, direalisasikan dan menjadi kejayaan yang sebenar-benarnya buat masyarakat kita," ujar Dr Nazirudin.
Semalam, tiga panel diadakan, dengan yang pertama mengenai topik 'Memupuk Perwatakan bagi Masyarakat Gemilang', yang membincangkan bentuk kehidupan sosioagama yang diingini dan bagaimana masyarakat Muslim boleh mendapat inspirasi daripada tradisi Muslim untuk memupuk visi Islam yang progresif dalam konteks kontemporari.
Yang kedua ialah 'Membangunkan Masyarakat Muslim Cekap dalam Konteks Pelbagai dan Moden', yang membincangkan peranan pembaharuan institusi dalam bidang pendidikan dan pembangunan sosial yang mendapat inspirasi daripada prinsip dan nilai keagamaan dan boleh membantu ke arah membangunkan masyarakat berdaya tahan serta padu dalam masyarakat majmuk.
Manakala yang terakhir ialah 'Mempertingkat Kesepaduan Sosial dan Kewarganegaraan Aktif'. Panel ini mengulas tentang usaha kerjasama bermakna antara agensi pemerintah, sektor privet dan masyarakat Islam dalam membina institusi yang teguh dan berdaya tahan yang menyumbang kepada mengukuhkan kesepaduan sosial dan kewarganegaraan aktif dalam masyarakat majmuk dan dunia globalisasi.
ICCOS, yang berlangsung selama dua hari dan diadakan buat julung kalinya, telah dihadiri kira-kira 500 peserta setempat dan antarabangsa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg