INDIVIDU yang tidak mendapat tempat bagi menunaikan Haji tahun in diharap tidak terlalu kecewa, jelas Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam catatan Facebook pada Selasa (26 April).

Menurutnya lagi, dalam pertemuan beliau dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Al Rabiah baru-baru ini, Dr Tawfiq memberi jaminan bahawa Kerajaan Arab Saudi akan menambah peruntukan kuota bagi jemaah antarabangsa apabila situasi Covid-19 semakin pulih.

"Pada masa yang sama, saya dan MUIS akan terus berusaha untuk memohon kuota yang lebih besar daripada kuota rasmi kita bagi memenuhi hajat pemohon haji Singapura yang semakin bertambah.

"Dengan situasi pandemik semakin stabil dan sekatan perjalanan dilonggarkan secara beransur-ansur, saya juga berharap lebih banyak tempat akan disediakan untuk kita pada tahun-tahun mendatang, InsyaAllah," tulis Encik Masagos.

Beliau mengulas kebenaran yang diberi kerajaan Arab Saudi dan Umrah bagi jemaah Singapura menunaikan haji pada tahun ini selepas dua tahun ibadah ini ditangguhkan ekoran Covid-19.

Bagaimanapun, bilangan jemaah yang diperuntukkan untuk Singapura kali ini lebih kecil, hanya 407 jemaah atau kira-kira 45% daripada kuota rasmi Singapura sebanyak 900 jemaah disebabkan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang akan dilaksanakan di Tanah Suci

"Dengan jumlah pemohon untuk menunaikan Haji semakin tinggi, ramai yang mengharapkan lebih banyak tempat diperuntukkan kepada Singapura. Malangnya, ancaman Covid-19 masih belum berakhir. Oleh itu, pihak berkuasa Arab Saudi telah menetapkan kuota yang lebih rendah bagi semua negara di dunia," kata Encik Masagos lagi.

Minggu depan, Muis akan mengumumkan pelantikan Ejen Perkhidmatan Am (GSA) dan pakej-pakej haji yang diluluskan, serta mengeluarkan surat tawaran kepada para jemaah yang berjaya diperuntukkan tempat tahun ini, tambahnya.

"Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang terpilih. Segeralah beritahu Muis keputusan anda kerana kita kesuntukan masa.

"Saya ingin merakamkan penghargaan Singapura kepada Kerajaan Arab Saudi kerana menyambung semula ibadah Haji bagi jemaah antarabangsa tahun ini. Muis dan GSA yang dilantik akan bekerja rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi proses permohonan, dan akan berusaha memastikan semuanya berjalan lancar.

:"Doa saya agar para tetamu Allah yang terpilih tahun ini akan sentiasa sihat sejahtera dan semoga mereka mendapat haji yang mabrur, Insya-Allah," katanya..