Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis iktiraf sumbangan pemimpin masyarakat Melayu/Islam

Oct 4, 2025 | 9:06 PM
Kecemerlangan aktivis masyarakat diraikan bersama oleh                                              (barisan belakang, dari kiri), Encik Raja Mohamad Maiden, Encik Haniss Ali, dan Encik Johari Samsudin; (barisan tengah, dari kiri) Ustazah Laila Abu Hassan, Cik Sri Nur Asma-ul-Husna Mohamed Hussain, Cik Nazeerah Alla’udin, Cik Attiya Ashraf Ali dan Dr Elly Sabrina Ismail, serta (barisan depan, dari kiri) Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Pemangku Menteri  Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Professor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; pengarah Casa Raudha, Encik Abdul Hamid Abdullah dan Presiden Tharman Shanmugaratnam serta isterinya, Puan Jane Ittogi dan Presiden Muis, Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman.
Kecemerlangan aktivis masyarakat diraikan bersama oleh (barisan belakang, dari kiri), Encik Raja Mohamad Maiden, Encik Haniss Ali, dan Encik Johari Samsudin; (barisan tengah, dari kiri) Ustazah Laila Abu Hassan, Cik Sri Nur Asma-ul-Husna Mohamed Hussain, Cik Nazeerah Alla’udin, Cik Attiya Ashraf Ali dan Dr Elly Sabrina Ismail, serta (barisan depan, dari kiri) Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Professor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; pengarah Casa Raudha, Encik Abdul Hamid Abdullah dan Presiden Tharman Shanmugaratnam serta isterinya, Puan Jane Ittogi dan Presiden Muis, Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman. - Foto BM oleh DESMOND WEE

Terdapat pelbagai cara bagi masyarakat Melayu/Islam di Singapura untuk tampil dan membawa perubahan, ujar Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa majlis penyampaian Anugerah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Istana pada 4 Oktober.

Beliau menegaskan kepentingan membina keluarga yang kukuh serta melabur dalam pembangunan anak-anak dan belia agar mereka dapat terus menyumbang kepada kemajuan Singapura.

Pada masa yang sama, usaha memperkukuh institusi agama dan menghayati ajaran Islam dalam konteks masyarakat berbilang budaya juga harus diperkasa.

Dr Faishal juga menitikberatkan kepentingan memelihara dan meraikan budaya serta warisan Melayu yang kaya, sebagai sebahagian fabrik sosial unik Singapura.

Mengaitkan tiga cara mengorak perubahan itu dengan penerima Anugerah Muis yang meraikan kecemerlangan individu dan pertubuhan, beliau menyifatkan setiap penerima anugerah sebagai pencetus inspirasi bagi masyarakat berbakti melalui usaha membina warisan institusi, memberi semangat dan memperjuangkan golongan memerlukan, dan bekerjasama dengan masyarakat lain.

“Selama bertahun-tahun lamanya, Anugerah Muis telah memberi penghormatan kepada lebih 150 individu dan pertubuhan.

“Mereka telah menunjukkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi kepada perkhidmatan mereka serta memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Anugerah Muis merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan besar individu kepada institusi sosioagama, sektor masjid, pertubuhan rakan kerjasama, dan masyarakat Islam Singapura secara keseluruhan.

Empat kategori utama anugerah tersebut – Anugerah Jasa Cemerlang, Anugerah Jasa Bakti, Anugerah Belia Harapan dan Anugerah Jasa Sejati (Anumerta) – disampaikan Presiden Tharman Shanmugaratnam, diiringi Presiden Muis, Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman; Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen serta Dr Faishal.

Sejak 1990, Anugerah Jasa Cemerlang dan Jasa Bakti telah dianugerahkan setiap tahun.

Anugerah Jasa Cemerlang 2025 diberikan kepada Encik Abdul Hamid Abdullah atas kepimpinannya dalam memperjuangkan inisiatif perubahan di badan tidak mengaut untuk yang membantu mangsa keganasan keluarga, Casa Raudha sebagai Pengarah, memperkukuh tadbir urus program AMP Singapura, serta meningkatkan taraf pendidikan di Madrasah Wak Tanjong sebagai Pengerusi.

Anugerah Jasa Bakti pula disampaikan kepada lima tokoh yang telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat, iaitu Encik Haniss Ali, Encik Raja Mohammad Maiden, Encik Johari Samsudin, Ustazah Laila Abu Hassan dan Dr Elly Sabrina Ismail.

Sementara itu, Anugerah Belia Harapan yang mengiktiraf kepimpinan belia aktif, berdaya tahan dan berupaya menggerakkan rakan sebaya diberikan kepada Cik Attiya Ashraf Ali, Naib Presiden Kelab Mendaki, Cik Attiya Ashraf Ali dan pengasas Membina Community, Cik Sri Nur Asma-Ul-Husna Mohamed Hussain.

Anugerah Jasa Sejati (Anumerta), yang diperkenalkan buat kali pertama tahun ini, diberikan kepada Allahyarham Alla’udin Mohamed, mantan Pengerusi Masjid Khalid dan penerima Pingat Bakti Masyarakat, atas sumbangannya kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Anaknya, Cik Nazeerah Alla’udin, menerima anugerah tersebut bagi pihak keluarga.

Dalam ucapannya, Dr Faishal turut menambah Anugerah Muis bukan sahaja mengiktiraf sumbangan cemerlang kepada pembangunan masyarakat Islam di Singapura, malah mencerminkan nilai murni seperti amanah, keikhlasan dan kesyukuran.

“Nilai ini mendorong kepada kepimpinan yang membina institusi masyarakat, belas ihsan yang menyokong golongan memerlukan, dan keharmonian yang merapatkan masyarakat majmuk kita,” katanya.

Beliau berharap kisah para penerima akan menjadi inspirasi, khususnya, kepada generasi muda untuk terus menabur bakti dengan penuh dedikasi, agar Singapura dapat maju bersama sebagai satu rakyat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg