Mulai 2 Oktober, individu atau pertubuhan yang menyediakan pengajaran Islam secara tetap kepada 10 individu atau lebih di Singapura, sama ada secara bersemuka atau dalam talian, perlu berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai sebuah Sekolah Agama Islam (MRS).

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan baharu bagi MRS di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) 2024, yang diluluskan Parlimen pada Februari 2024.

Beberapa peruntukan di bawah Peraturan Pentadbiran Hukum Islam (Sekolah Agama Islam) 2016 turut dipinda bagi melaksanakan perubahan tersebut.

Menurut MUIS dalam satu kenyataan pada 3 Oktober, pindaan itu bertujuan memperkukuh perlindungan bagi pendidikan Islam di Singapura, termasuk pembelajaran dalam talian, serta memberi masyarakat Islam keyakinan bahawa pengajaran agama disampaikan asatizah bertauliah melalui penyedia berdaftar.

Sekitar 50 individu dan pertubuhan dijangka perlu mendaftar sebagai MRS di bawah rangka kerja yang dikemas kini itu, kata MUIS.

Selain itu, pegawai MUIS juga diberi kuasa memeriksa MRS berdaftar, termasuk menghadiri sesi pengajaran Islam secara bersemuka atau dalam talian.

Badan agama itu turut menjelaskan bahawa pengajaran secara tetap merujuk kepada pengajaran yang dijalankan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

“Antara mereka yang perlu mendaftar termasuk madrasah sepenuh masa dan sambilan, kelas Al-Quran, kelas persediaan Ujian Kemasukan Madrasah (MET), serta kelas persediaan umrah dan haji yang dikendalikan oleh agensi pelancongan,” jelas MUIS.

Menurut kenyataan tersebut, golongan yang perlu mendaftar turut merangkumi program pengajian tinggi berstruktur yang mengandungi pengajaran Islam, kelas bahasa Arab untuk memahami kandungan agama, dan pusat jagaan pelajar yang menawarkan pengajaran Islam.

Bagi MRS yang sudah mendaftar, MUIS berkata mereka tidak perlu mendaftar semula dan boleh terus beroperasi menggunakan pendaftaran sedia ada.

Namun, keperluan baharu itu tidak dikenakan bagi pengajaran Islam khusus kepada anggota keluarga, atau perkongsian pandangan agama secara peribadi bersama keluarga dan rakan.

Khidmat agama yang tidak melibatkan pengajaran, seperti ruqyah, pengurusan jenazah, tahnik, tahlil, korban dan badal umrah, serta kelas agama dalam talian yang dikendalikan dari luar Singapura juga tidak memerlukan pendaftaran MRS.

“MRS yang didaftar perlu memastikan pengajaran Islam hanya disampaikan asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), manakala kurikulum Islam yang digunakan perlu disahkan MUIS,” tekan badan agama itu.

Menurut MUIS, penyedia yang memenuhi pentakrifan MRS tetapi belum berdaftar diberi tempoh hingga 31 Mac 2027 untuk mengemukakan permohonan dan boleh terus beroperasi sepanjang tempoh peralihan itu.

Pendaftaran bagi mereka dibuka mulai 3 Oktober, dengan MUIS turut menyediakan sesi perundingan bagi mereka yang memerlukan bantuan dalam proses tersebut.

Dalam pada itu, MUIS turut menjelaskan, beberapa perubahan kepada ARS turut berkuat kuasa mulai 2 Oktober bagi memperkukuh pemantauan serta piawaian profesional guru agama di Singapura.

Antaranya, pemohon baharu bagi pengiktirafan ARS Tahap 1 perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah dalam Pengajian Islam, namun syarat itu tidak dikenakan kepada asatizah Tahap 1 sedia ada, termasuk mereka yang memperbaharui pengiktirafan.

Di samping itu, tempoh sekatan selama setahun turut dikenakan terhadap pemohon yang gagal, serta mereka yang pengiktirafannya dibatalkan atau tidak diperbaharui, bagi memberi mereka masa meningkatkan keupayaan sebelum memohon semula.

Namun, asatizah yang membatalkan pengiktirafan secara sukarela kerana tidak lagi berhasrat mengajar tidak tertakluk kepada tempoh sekatan tersebut.

Kenyataan itu turut menyatakan MUIS diberi lebih fleksibiliti untuk menyesuaikan tempoh penggantungan sekiranya siasatan memerlukan lebih banyak masa.

Sejak pendaftaran wajib MRS dan guru agama diperkenalkan pada 2017, jumlah MRS dan Pusat dan Penyedia Khidmat Pendidikan Islam (IECP) berdaftar meningkat daripada 303 kepada 475 pada 2025, manakala jumlah guru agama di bawah ARS meningkat daripada 4,744 kepada 5,205.