Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuis: Jemaah S’pura digalak tangguh umrah ekoran risiko keselamatan di Arab Saudi
Muis: Jemaah S’pura digalak tangguh umrah ekoran risiko keselamatan di Arab Saudi
Rakyat Singapura yang merancang untuk menunaikan umrah di Arab Saudi dinasihatkan supaya menangguhkan rancangan perjalanan mereka berikutan peningkatan risiko keselamatan di sana, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Dalam satu kenyataan pada 14 Oktober, MUIS menasihatkan rakyat Singapura supaya mematuhi nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri (MFA) pada 13 Oktober, yang mengesyorkan penangguhan semua perjalanan ke negara Timur Tengah itu selepas peningkatan serangan peluru berpandu dan dron di sana.
MUIS menyatakan bahawa pihaknya sedang berhubung dengan ejen umrah bagi menggalakkan bantuan dalam urusan penangguhan atau penjadualan semula perjalanan.
Rakyat Singapura yang kini berada di Arab Saudi diminta mematuhi nasihat rasmi pihak berkuasa tempatan serta terus berhubung dengan ejen pelancongan dan syarikat penerbangan masing-masing, tambah kenyataan itu.
“Kami sedar bahawa jemaah mungkin menghadapi implikasi kewangan tanpa sebarang kesalahan di pihak mereka, dan kami menggesa pengendali khidmat umrah untuk mengendalikan kes sedemikian dengan penuh keprihatinan, keadilan dan sikap bertimbang rasa,” menurut kenyataan itu.
MUIS menyatakan bahawa ia akan terus memantau perkembangan situasi dengan teliti dan menyelaras dengan agensi pemerintah yang berkaitan bagi memberikan maklumat terkini apabila perlu.
“Kami menghargai kesabaran dan sikap bertimbang rasa masyarakat, serta menggalakkan jemaah dan keluarga mereka untuk terus berpandukan nasihat rasmi memandangkan situasi semasa yang sentiasa berubah,” tambah kenyataan itu.
“Kami berkongsi harapan jemaah dan keluarga mereka agar tahap keselamatan di rantau tersebut akan bertambah baik tidak lama lagi. Kami mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka, serta berharap agar mereka dapat menunaikan niat untuk mengerjakan umrah dengan selamat dan tenang apabila keadaan mengizinkan.”
Rakyat Singapura yang berada di Arab Saudi, atau mereka yang perlu ke sana, amat digalakkan untuk mendaftar secara dalam talian dengan Kementerian Luar Negeri (MFA) di https://eregister.mfa.gov.sg.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Riyadh, Konsulat Jeneral Singapura di Jeddah, atau Pejabat Tugas Kementerian Luar Negeri di talian +65 6379 8800 / 8855.
Pada 13 Oktober, MFA menasihati rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan ke Arab Saudi, susulan serangan berulang kali terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid (KKIA) di Riyadh yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang dan mencederakan lebih daripada 300 orang.
Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, lapangan terbang lain di Riyadh, Abha, Dammam, Khamis Mushait, Najran dan Jizan turut diserang, dengan penutupan ruang udara semakin kerap berlaku.
MFA menambah bahawa rakyat Singapura yang sudah berada di Arab Saudi harus mengelak daripada pergi ke KKIA dan kawasan berisiko tinggi yang lain sehingga diberitahu kelak, serta mengelak perjalanan yang tidak penting di dalam negara tersebut.
Mereka yang telah menempah penerbangan ke Arab Saudi atau sedang transit di negara itu digalakkan supaya menyemak maklumat perjalanan terkini dengan syarikat penerbangan masing-masing dan mengesahkan penerbangan mereka pada hari perjalanan.