Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis kaji cara tingkat pengesahan ketulenan sijil halal melalui digital

Oct 4, 2023 | 5:30 AM
LOGO HALAL: Orang ramai boleh mengesahkan kesahihan sijil halal dengan menyemak senarai tempat makan yang disahkan halal yang terdapat di laman web Muis atau aplikasi MuslimSG.
LOGO HALAL: Orang ramai boleh mengesahkan kesahihan sijil halal dengan menyemak senarai tempat makan yang disahkan halal yang terdapat di laman web Muis atau aplikasi MuslimSG. - Foto MUIS

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang mengkaji cara untuk meningkatkan ciri keselamatan sijil halal melalui usaha pendigitalan yang akan memudahkan orang ramai mengesahkan ketulenan sijil halal pada masa hadapan.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) tentang sama ada akan terdapat sistem yang membolehkan orang ramai mengesahkan ketulenan sijil halal, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata:

“Buat masa ini, orang ramai boleh mengesahkan kesahihan sijil halal dengan menyemak senarai tempat makan yang disahkan halal yang terdapat di laman web Muis atau aplikasi MuslimSG nya.”

Muis juga telah meningkatkan usaha pendidikan awam melalui platform media sosial untuk mendidik orang ramai tentang ciri-ciri utama yang perlu diperhatikan dalam sijil halal bagi memastikan kesahihannya.

“Muis juga sedang mengkaji cara untuk meningkatkan ciri keselamatan sijil halal melalui usaha pendigitalan yang akan memudahkan orang ramai untuk mengesahkan ketulenan sijil halal pada masa hadapan,” tambah kementerian itu.

Awal sebelum ini, terdapat kes pemalsuan sijil halal yang tular di media sosial pada lewat Ogos 2023, yang dibawa kepada perhatian badan penguasa Islam tertinggi itu.

Dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook pada 25 Ogos, Muis berkata ia mengunjungi Kak Mah Chicken dan Joy Lap’s Kitchen dan mendapati produk yang dijual di dua kedai makan itu tidak mempunyai Tanda Pensijilan Halal Muis (MHCM).

Kunjungan itu menyusuli satu kes pemalsuan sijil halal yang dirujuk kepada polis.

Sementara itu, dalam laporan Berita Harian sebelum ini, Muis berkata 20 tindakan penguatkuasaan diambil pihaknya berikutan pemeriksaan yang dijalankannya pada 2021 dan 2022, sejajar Seksyen 88A Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).

Daripada jumlah itu, sembilan dikenakan penggantungan sijil halal, dengan lapan daripadanya digantung lesen oleh Agensi Makanan Singapura (SFA); empat dikenakan denda; dan tujuh diberi amaran.

Pengendali makanan dan minuman membentuk 35 peratus kes penguatkuasaan itu. Lima kes berasingan, seperti pemalsuan, dirujuk kepada pihak berkuasa yang relevan.

Selain itu, Muis menjalankan pemeriksaan mengejut bagi memastikan pemegang sijil halal terus mematuhi piawaian halal dan syarat pensijilan halal Muis.

Orang ramai yang ingin membuat laporan tentang sijil halal yang disyaki boleh menghubungi Muis pada talian 6359-1199 atau melalui e-mel info@muis.gov.sg.

Apa kata MSF?

“Muis juga sedang mengkaji cara untuk meningkatkan ciri keselamatan sijil halal melalui usaha pendigitalan yang akan memudahkan orang ramai untuk mengesahkan ketulenan sijil halal pada masa hadapan.”
Kenyataan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg