Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis laksana garis panduan gaji bagi asatizah secara bertahap mulai 2023

Sep 15, 2022 | 5:30 AM
- Foto MCI
- Foto MCI -

MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) akan melaksanakan Garis Panduan Gaji Umum (CSG) bagi asatizah secara bertahap mulai tahun depan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (gambar kanan).

Tambahnya, Muis sedang bekerjasama dengan madrasah dan masjid untuk melaksana CSG itu.

Ini melibatkan satu semakan menyeluruh termasuk penilaian rapi terhadap skop pekerjaan asatizah dan menyelaraskan gaji dengan sektor yang relevan.

Encik Masagos berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Parlimen Anggota Parlimen Dilantik, Dr Shahira Abdullah, kelmarin tentang CSG bagi asatizah seperti yang diusulkan laporan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa) pada 2020 serta usaha memastikan gaji asatizah yang berkhidmat dalam institusi agama kekal berdaya saing.

Encik Masagos berkata penyesuaian gaji ini akan bergantung pada sistem berdasarkan prestasi yang kukuh yang memastikan asatizah dibayar dengan adil berdasarkan kemahiran, kecekapan dan nilai yang mereka dapat sumbang kepada pekerjaan mereka.

"Muis sedang mendekati majikan dalam sektor madrasah dan masjid untuk menyemak sistem penilaian prestasi sedia ada.

"Muis juga akan mengendalikan bengkel untuk melengkapi penyelia dan pegawai pelapor serta pegawai sumber manusia mereka dengan kemahiran dan pengetahuan untuk melaksanakan struktur gaji dalam pertubuhan mereka, sejajar dengan CSG," ujarnya.

Selepas selesai usaha pendekatan ini, Encik Masagos berkata Muis akan melaksanakan CSG secara bertahap mulai tahun depan.

Tambahnya, Muis kemudian akan kerap memantau dan memastikan gaji bagi asatizah kekal berdaya saing dengan sektor relevan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg