MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah melantik Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar (gambar) selaku salah seorang daripada Timbalan Muftinya.
Ini bermakna Muis kini mempunyai tiga Timbalan Mufti.
Dua yang lain adalah Ustaz Dr Mohd Murat dan Ustaz Dr Mohammad Hannan.
Ini dinyatakan Muis dalam satu catatannya yang menyatakan bahawa Ustaz Dr Izal telah terlibat dalam pembangunan dasar agama dan menyokong pembangunan beberapa fatwa utama.
Pelantikannya bermula 1 Mei lalu.
Pelantikan Ustaz Izal kukuhkan kepimpinan, institusi agama
Bekas penuntut di Universiti Al-Azhar dalam Undang-Undang Islam dan Perundangan ini juga memiliki sarjana dalam Fiqh dan usul Fiqh, daripada Kolej Universiti Da'wah, di Beirut, Lubnan.
Beliau, yang akan berusia 43 tahun Oktober ini, meraih Doktor Falsafah dalam Pembelajaran Islam dari Pusat Raja Zarith Sofiah bagi Pembelajaran Lanjutan tentang Islam, Sains dan Tamadun dari Universiti Teknologi (UTM), Malaysia.
"Kepimpinan agama kami telah mengenal pasti isu-isu yang kami hadapi secara kolektif pada hari ini yang bertambah dari segi dimensi yang berbilang dan kompleks.
"Sedang kami sering berhadapan cabaran yang kerap berubah, adalah penting untuk kami terus kukuhkan kepimpinan dan institusi agama yang bertindak selaku tiang penting bagi masyarakat kita.
"Lantas kami amat gembira mengumumkan bahawa Pejabat Mufti telah melantik Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar selaku Timbalan Mufti," menurut kenyataan di Facebook itu.
Catatan itu menambah bahawa Ustaz Dr Izal akan berkhidmat dalam peranan barunya, di samping Ustaz Dr Mohd Murat Md Aris dan Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan.
Ustaz Dr Izal mula sertai Muis pada 2009 selaku Eksekutif Kanan di Pejabat Mufti. Beliau dilantik selaku Ketua Pejabat Mufti dan kemudian selaku Timbalan Pengarah (Pejabat Mufti - Dasar Agama).
Dengan menyuntik kesegaran dalam kepimpinan agama, Pejabat Mufti mengukuhkan usahanya untuk meluaskan penglibatan dengan masyarakat dan pelbagai pihak berkepentingan dalam membentuk bimbingan dan inisiatif yang relevan dan berkesan.
Awal tahun ini, Muis juga mengadakan pelantikan Jawatankuasa Fatwa yang baru, dengan menyambut asatizah daripada kepakaran dalam pelbagai bidang.
Ustaz Dr Izal merupakan antara anggota baru itu dan kini bertindak selaku setiausaha Jawatankuasa Fatwa.
"Kepimpinan agama kami telah mengenal pasti isu-isu yang kami hadapi secara kolektif pada hari ini yang bertambah dari segi dimensi yang berbilang dan kompleks. Sedang kami sering berhadapan cabaran yang kerap berubah, adalah penting untuk kami terus kukuhkan kepimpinan dan institusi agama yang bertindak selaku tiang penting bagi masyarakat kita." - Kenyataan Muis di Facebook.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg