MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) bekerjasama dengan pelbagai Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) di Australia, dengan Majlis Islam Tertinggi bagi Daging Halal di Australia (SICHMA) merupakan salah satu badan yang diiktiraf masa ini.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Muis berkata badan lain di Australia yang diiktiraf di bawah skim pengenalan FHCB yang diluaskan pada Februari lalu termasuk Australian Halal Authority & Advisers; Australian Halal Development & Accreditation; Halal Australia; dan Perth Mosque Incorporated.

SICHMA merupakan sebuah badan bukan pemerintah yang memberikan pensijilan halal kepada rumah sembelih Thomas Foods International Lobethal (TFIL).

TFIL membekalkan daging termasuk daging halal ke negara seperti Malaysia dan Singapura.

Namun, TFIL baru-baru ini dilaporkan tidak mematuhi protokol penyembelihan bagi daging halal justeru mendorong pihak berkuasa Malaysia dan Muis mengambil tindakan.

Muis telah menghentikan import daging halal dari TFIL.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula telah menggantung kelulusan TFIL, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.

Dalam responsnya mengenai perkembangan tersebut, jurucakap Muis berkata FHCB yang diluluskan semasa Fasa Peralihan akan diberi pengiktirafan sementara selama setahun.

"Permohonan terkini SICHMA bagi pengiktirafan Muis masih dinilai bergantung kepada perkembangan yang berlangsung kini dan keputusan akan dibuat dalam jangka masa terdekat.

"Import daripada TFIL, hanya membentuk sebahagian daripada daging halal yang diimport dari Australia.

"Secara keseluruhannya bekalan daging halal ke cawangan yang diberi pensijilan halal Muis tidak banyak terkesan," katanya.

Sebagai sebahagian daripada siasatan Muis dengan pihak berkuasa berkepentingan yang relevan, Muis menjalankan siasatannya dengan SICHMA.

Muis telah pun mengenal pasti kelompok pemegang sijil halal yang terjejas dan akan mendekati mereka secara langsung bagi mendapatkan alternatif bekalan yang mematuhi protokol halal.

"Pemeriksaan juga akan dijalankan agar peraturan dipatuhi," kata jurucakap itu lagi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti