Topik diikuti
Pergi ke BHkuMUIS umum senarai anggota jawatankuasa semakan langkah perlindungan kanak-kanak di institusi agama
MUIS umum senarai anggota jawatankuasa semakan langkah perlindungan kanak-kanak di institusi agama
Dapatan, cadangan jawatankuasa juga akan dikemukan kepada masyarakat.
MUIS umum senarai anggota jawatankuasa semakan langkah perlindungan kanak-kanak di institusi agama
Seramai sembilan individu dengan latar belakang profesional dan pengalaman masyarakat yang berbeza akan menganggotai jawatankuasa semakan yang ditubuhkan untuk memperkukuh langkah-langkah perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran keagamaan, termasuk di masjid dan madrasah.
Ini termasuk pakar dalam bidang tadbir urus dan risiko, pendidikan Islam, serta pegawai kanan daripada Pasukan Polis Singapura (SPF), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Pendidikan (MOE), kata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
“Gabungan kepakaran ini akan membolehkan jawatankuasa tersebut menimbangkan langkah-langkah perlindungan bagi mencegah kemudaratan terhadap kanak-kanak dan golongan muda, serta protokol tindak balas yang tegas apabila insiden sedemikian berlaku.
“Anggota tambahan dan pakar rujukan yang mempunyai kepakaran berkaitan mungkin akan dilibatkan semasa tugas jawatankuasa ini menjalankan tugas,” menurut MUIS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 30 September.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, pertama kali mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu di Parlimen pada 8 September.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama oleh Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum, dan Pengerusi AMP Singapura, Ustaz Fathurrahman Dawoed.
Penubuhan jawatankuasa ini dibuat susulan kes dua kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya sebagai “pempengaruh agama” dan mengadakan kelas agama di sebuah masjid tanpa kebenaran.
Semasa berucap kepada media pada 30 September, Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan), turut mendedahkan senarai anggota dan skop tugas jawatankuasa tersebut.
Jawatankuasa itu, yang akan disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan MUIS, akan mengemukakan cadangan mereka secara langsung kepada Encik Zaqy menjelang akhir 2026.
Mereka juga akan berkongsi dapatan dan cadangan mereka secara terbuka dengan masyarakat, tambah MUIS.
Orang ramai juga boleh berkongsi pandangan dan cadangan mereka dengan jawatankuasa tersebut melalui borang maklum balas dalam talian, yang akan melengkapi usaha penglibatan pihak berkepentingan oleh jawatankuasa itu serta membantu memaklumkan proses semakannya.
Selain dua pengerusi bersama itu, jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh pensyarah bebas, Ustazah Dr Rohana Ithnin, yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Fatwa MUIS, serta Ustaz Ridhwan Mohd Basor, yang merupakan Perunding Utama dan Pengurus Program di DigitalWell.ai.
Jawatankuasa itu juga merangkumi Cik Suree Rohan, Pengetua Audit dan Cukai dari Rohan Mah & Partners LLP, serta Dr Quah Saw Han, Pakar Psikologi Klinikal Utama (Perkhidmatan Psikologi) dari Community Psychology Hub.
Ia juga akan dianggotai Penolong Pesuruhjaya (AC) Masagoes Idris Hussain dari SPF, Timbalan Pengarah Kanan, Cik Ravina Said Abdul Rahman dari MSF, dan Pengarah Zon, Encik Krishnan Aravinthan dari MOE.
“Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan masyarakat dan agensi-agensi berkaitan untuk mengemukakan syor-syor praktikal bagi memperkukuh langkah perlindungan dan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran keagamaan, sambil mengekalkan sifat terbuka dan mesra etos institusi keagamaan.
“Semakan ini akan menggunakan pendekatan pencegahan dan berteraskan masyarakat, dengan meneliti sistem, budaya serta amalan yang dapat mencegah kemudaratan, mengesan kebimbangan pada peringkat awal, dan menggalakkan keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak dan golongan muda,” kata MUIS.