Membuat LPA lebih awal merupakan satu amanah – tanda tanggungjawab terhadap kesejahteraan diri sendiri dan mereka yang bergantung pada kita, kata Pengarah Urusan Amanah Legal LLC, Cik Syafiqah Ahmad Fu’ad.

Tanpa LPA, orang tersayang mungkin perlu memohon perintah pelantikan wakil melalui mahkamah untuk menguruskan hal ehwal seseorang yang kehilangan keupayaan mental.

Proses ini boleh makan masa, melibatkan kos tinggi dan menambah tekanan ketika keluarga sedang berdepan dengan keadaan yang sukar.

Pelantikan wakil oleh mahkamah ialah aturan undang-undang yang membolehkan mahkamah melantik seorang wakil untuk membuat keputusan tertentu bagi individu yang kehilangan keupayaan mental dan tidak mempunyai LPA.

Proses ini boleh mengambil masa sehingga satu setengah tahun, dengan kos prosiding undang-undang mencecah $9,000 atau lebih.

Menurut Cik Syafiqah, kehilangan keupayaan mental bukan sahaja menjadi kebimbangan pada usia lanjut, malah boleh berlaku pada bila-bila masa akibat kemalangan serius atau penyakit.

Memulakan keluarga, membeli rumah atau membina simpanan boleh menjadi pencetus bagi seseorang mula merancang masa depan. Namun, waktu terbaik untuk berbuat demikian ialah selagi seseorang masih berupaya membuat keputusan sendiri dan menyampaikan hasratnya dengan jelas.

Perancangan awal boleh melibatkan membuat LPA dan Perancangan Jagaan Lanjut (ACP), yang berkuat kuasa apabila seseorang kehilangan keupayaan mental semasa hidup. Pencalonan CPF akan berkuat kuasa hanya selepas kematian. 

Cik Syafiqah berkongsi pengalaman seorang rakan kerja yang bapanya, seorang yang aktif, mengalami demensia dengan begitu pantas sehingga dalam tempoh beberapa bulan sahaja, beliau tidak lagi dapat mengingati namanya sendiri.

Tanpa LPA, keluarga rakannya mungkin menghadapi kesukaran mengakses akaun bank bapanya dan terpaksa memohon pelantikan wakil melalui mahkamah. Proses itu boleh mengambil masa berbulan-bulan dan melibatkan kos yang tinggi, sedangkan dana diperlukan untuk membiayai penjagaannya.

Tetapi, atas saranan rakan kerjanya yang menggalakkan bapanya supaya membuat LPA ketika masih sihat, bapanya telah melantik Penerima Kuasa (Donee) yang dapat menjalankan tanggungjawab tersebut selepas laporan perubatan mengesahkan bahawa beliau telah kehilangan keupayaan mental. 

Dengan itu, rakan kerja Cik Syafiqah dapat segera mendapatkan bantuan kewangan bagi penjagaan kesihatan yang diperlukan, termasuk khidmat penjagaan khusus di rumah. Ini membolehkan bapanya terus tinggal dalam persekitaran yang selesa, sambil mengekalkan maruah dirinya. 

“LPA bukan sahaja satu borang pentadbiran; ia merupakan satu bentuk perancangan awal yang dapat melindungi keluarga daripada birokrasi ketika setiap detik amat berharga,” kata Cik Syafiqah. 

Di sebalik urusan perundangan, Cik Syafiqah berkata perbincangan sebegini juga boleh memberi peluang buat anggota keluarga merapatkan hubungan, memahami hasrat insan tersayang dan saling menyokong satu sama lain, baik pada saat-saat baik ataupun mencabar. 

“Nasihat saya ialah mengadakan perbincangan awal tatkala orang tersayang anda masih boleh turut serta dan memilih orang yang dipercayai,” kata Cik Syafiqah. 

Menjelaskan kebimbangan mengenai kuasa Penerima Kuasa, Cik Syafiqah berkata bahawa seorang Penerima Kuasa tidak boleh membuat, meminda atau membatalkan wasiat Pemberi Kuasa di bawah LPA. 

Penerima Kuasa juga tidak boleh membuat atau membatalkan pencalonan CPF, ataupun memeluk atau meninggalkan sesuatu agama bagi pihak Pemberi Kuasa.

Pencalonan CPF pula membolehkan seseorang menentukan siapa yang akan menerima simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) miliknya serta bahagian yang akan diterima oleh setiap penerima selepas kematiannya.

“Melantik Penerima Kuasa tidak bermakna seseorang menyerahkan kawalan terhadap kehidupannya.

“Penerima Kuasa hanya boleh bertindak apabila Pemberi Kuasa kehilangan keupayaan mental untuk membuat keputusan berkenaan, dan mesti bertindak demi kepentingan terbaik Pemberi Kuasa. 

“Jika Pemberi Kuasa kembali berupaya membuat keputusan tersebut, hak untuk membuat keputusan itu kembali kepadanya,” kata Cik Syafiqah.

Bagaimana Membuat Surat Kuasa Berkekalan

Anda hanya memerlukan 10 minit bagi memulakan proses melantik orang yang dipercayai untuk membuat keputusan bagi hal ehwal berkenaan kebajikan peribadi, harta benda dan akaun bank anda.

Langkah 1: Hantar borang menerusi laman go.gov.sg/planlegacytoday-lpa.

Langkah 2: Dapatkan Penerima Kuasa dan Pengganti Penerima Kuasa (jika ada) untuk menerima janji temu mereka.

Langkah 3: Kunjungi Pegawai Pengesah Sijil untuk mengesahkan LPA anda. Cari Pegawai Pengesah Sijil LPA di laman, go.gov.sg/lpa-ci.

Berikan diri anda dan orang tersayang anda ketenangan fikiran hari ini. Klik di sini untuk mendapatkan maklumat lanjut. 

Sambutan Negara bagi Warga Emas 

30–31 Oktober 2026, Hab HDB

Sambutan Negara bagi Emas merupakan daya usaha negara tahunan yang menggalakkan penuaan aktif, sihat dan bermakna. Kunjungi zon Plan Well Zone, untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pelbagai alat perancangan legasi sedia ada, termasuk LPA.

Plan Well Zone bermatlamat membantu warga emas dan keluarga mereka bersiap sedia pada masa depan dengan lebih yakin. Ini termasuk menggalakkan mereka memulakan perbincangan penting tentang perancangan penjagaan masa depan melalui sesi bimbingan yang mesra, bersifat peribadi dan terarah yang merangkumi Perancangan Jagaan Lanjut (ACP), Surat Kuasa Berkekalan (LPA), pencalonan CPF dan aspek lain dalam perancangan legasi. 

Sudah bersedia untuk memulakan perjalanan LPA anda? Kunjungi zon Plan Well Zone pada Sambutan Negara Warga emas pada 30–31 Oktober 2026, di Hab HDB, untuk mendapatkan maklumat lanjut. 

Rencana ini dibawakan oleh MSF
Rencana ini dibawakan oleh MSF - Foto MSF
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti