Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terlibat dalam kerahan GE2020 dan NDP

Aug 4, 2021 | 5:30 AM
BERTINDAK PANTAS DAN CEKAP: Keupayaan Encik Mulyadi buat keputusan dan beri arahan dengan pantas dan berkesan membolehkan proses kerahan berjalan lancar dan penuhi keperluan misi dan operasi dalam masa yang singkat. - Foto-foto PASUKAN POLIS SINGAPURA (SPF).
BERTINDAK PANTAS DAN CEKAP: Keupayaan Encik Mulyadi buat keputusan dan beri arahan dengan pantas dan berkesan membolehkan proses kerahan berjalan lancar dan penuhi keperluan misi dan operasi dalam masa yang singkat. - Foto-foto PASUKAN POLIS SINGAPURA (SPF). -

TAHUN 2020 terbukti tempoh yang agak mencabar baginya berkhidmat dalam Pasukan Polis Singapura (SPF).

Meskipun bukan pegawai tetap SPF, Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC)(NS) Encik Mulyadi Ahmad telah memainkan peranan penting memastikan keselamatan negara terjaga dalam beberapa operasi besar di Singapura.

Sebagai Komander NS dalam Divisyen Polis di Lapangan Terbang (APD), beliau antara lain bertanggungjawab merancang operasi kerahan pegawai dalam tempoh masa singkat bagi menyokong operasi keselamatan seperti semasa Pilihan Raya (GE2020) dan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun lalu.

Namun, keupayaan Encik Mulyadi, 45 tahun, membuat keputusan dan memberikan arahan dengan pantas dan berkesan membolehkan proses kerahan berjalan dengan lancar dan memenuhi keperluan misi dan operasi dalam masa yang singkat.

Semasa tempoh GE2020, Encik Mulyadi, yang bertanggungjawab ke atas sekitar 1,300 pegawai anggota Perkhidmatan Negara (NS) dan anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) perlu mengerah pegawai APD untuk menyokong operasi memastikan keselamatan di aktiviti yang berkait dengan pilihan raya.

"Pada masa itu saya perlu mengerah lebih 500 pegawai dalam masa tiga hari, dan ini memang menimbulkan isu logistik.

"Apatah lagi dengan lokasi yang berubah-ubah, jadi kita perlu fleksibel dan menyesuaikan kerahan berdasarkan keperluan tersebut," ujarnya.

Namun, Encik Mulyadi yang sudah berkhidmat dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) selama lebih dua dekad, sedar bahawa beliau perlu selalu bersedia untuk situasi yang tidak dijangka.

Bersama dengan pegawai yang dapat bekerjasama dengan baik di APD, pasukannya berjaya mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Unit Perkhidmatan Negara Paling Bersedia untuk Operasi pada 2019 dan 2020.

Sebelum dilantik sebagai Komander Polis Lapangan Terbang, Encik Mulyadi, yang juga merupakan bekas Pengurus Besar Wisma Geylang Serai (WGS), pernah memegang beberapa jawatan di Pusat Polis Kejiranan (NPC) Bedok dan Geylang.

Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam operasi Keselamatan Bazar Geylang Serai dari 2006 hingga 2016, di mana beliau bersama pasukan yang dianggotai sepenuhnya oleh anggota NS, merancang dan mengendalikan langkah-langkah sewajar dalam memastikan keselamatan orang ramai di bazar.

Biasanya, operasi keselamatan dikendalikan pegawai SPF sepenuh masa.

Encik Mulyadi, yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah di Agensi Sekitaran Negara (NEA), berkata operasi tersebut merupakan antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan semasa di SPF.

"Semasa berkhidmat sebagai GM di WGS, memang pengalaman ini semua kembali kepada saya.

"Memandangkan saya terlibat dalam menganjurkan bazar dan saya juga telah gunakan pengalaman dan pengetahuan yang saya ada tentang keselamatan di bazar ini untuk membantu perancangan pada masa itu," ujarnya.

Pengalaman seperti ini mendorong Encik Mulyadi untuk terus ingin menyumbang kepada keselamatan negara dan menjadi sebahagian daripada entiti NS selagi mampu.

"Saya seorang bapa lima orang anak, dan ini merupakan antara dorongan utama saya untuk terus memastikan negara ini selamat untuk mereka dan juga generasi seterusnya.

"Selagi sumbangan saya diperlukan, saya ingin terus menjadi sebahagian daripada entiti ini dan berkhidmat dengan pegawai lain," katanya.

Tambahnya sokongan keluarga, terutama isterinya, terus memainkan peranan utama.

Isterinya, Cik Nur Aini Md Yat, telah diberikan Anugerah Penyokong NS untuk Individu dalam satu majlis Anugerah Pertahanan Mutlak (TDA) pada 2015.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg