Sekumpulan murid dari Sekolah Rendah Chua Chu Kang berpeluang menggunakan mikroskop untuk melihat bakteria dan virus dalam sebuah makmal sains.
Seramai 20 pelajar terdiri daripada pelajar Darjah empat dan lima itu juga belajar mengenai kultur sel dan aplikasinya dalam ujian dan inovasi ubat-ubatan.
Mereka telah mengadakan darmawisata ke Translational Medicine Research Centre (TMRC) milik syarikat biofarmaseutikal, MSD sempena ulang tahun yang ke-30 tahun.
TMRC terletak di kampus penyelidikan bioperubatan Biopolis. Ia menumpukan bidang penerokaan dan pengembangan ubat-ubatan.
Qubel Naufal, seorang pelajar darjah lima yang mengikuti darmawisata itu mendapati lawatan ke makmal itu sungguh menarik.
“Paling saya suka ialah melihat robot makmal. Saya juga dapati kultur sel 2D dan 3D sungguh menarik terutama apabila saya belajar mengenai perbezaan cara mereka dihasilkan,’‘ kata Qubel, yang menyatakan lawatan itu mendorong beliau untuk menimbangkan pekerjaan sebagai seorang saintis di masa hadapan.
Pengarah Ehwal Luar (Dasar dan Perhubungan) Singapura, Malaysia dan Brunei, Cik lau Lu-Ching berkata daya usaha itu diadakan bagi menggalak penerokaan dalam bidang sains dan teknologi sejajar dengan visi Kementerian Pendidikan (MOE) bagi pembelajaran menerusi pengalaman, serta mendorong para pelajar untuk meneroka peluang kerjaya dalam sektor biofarma.
Menjelang 2024, syarikat itu merancang mengadakan 12 darmawisata melibatkan lebih 700 pelajar dan 50 guru.
Pengarah Eksekutif TMRC, Dr Brian Henry berkata syarikat itu dibentuk lebih 130 tahun di Amerika Syarikat bagi menghasilkan ubat-ubatan dan vaksin.
MSD dibentuk di Singapura sebagai sebuah pejabat penjualan dan pemasaran (Kesihatan Manusia) pada 1993. Kini, MSD menjadikan Singapura sebuah ibu pejabat (HQ) Asia Pasifik. Ia juga mempunyai kilang, TMRC, Pusat Teknologi Singapura dan tapak bagi kesihatan binatang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg