Murid kunjungi doktor kerana sakit perut tetapi perlu ambil ujian PCR, terlepas peluang duduki kertas PSLE bahasa Inggeris
Murid kunjungi doktor kerana sakit perut tetapi perlu ambil ujian PCR, terlepas peluang duduki kertas PSLE bahasa Inggeris
ANAK perempuan pengurus kewangan, Cik Sally Ang, sakit perut malam sebelum kertas Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pertamanya pada Khamis (30 September) tetapi doktor menemui tanda jangkitan pernafasan dan telah mengujinya untuk Covid-19. Ujian pantas antigen (ART) yang dia ambil malam itu negatif. Bagaimanapun, peraturan Kementerian Pendidikan (MOE) menghendaki murid mendapat keputusan negatif pada ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) untuk menduduki peperiksaan. Ujian PCR mengambil sekurang-kurangnya 24 jam untuk diproses, dan paling awal seorang murid dapat menduduki peperiksaan PSLE adalah dua hari kemudian. Itu bermakna anak perempuannya tidak boleh menduduki kertas PSLE bahasa Inggeris, menyebabkan Cik Ang menyalahkan dirinya kerana membawa anak itu ke doktor kerana sakit perut. Pada Khamis, Cik Ang menerima keputusan ujian PCR negatif, dan anaknya dapat menduduki kertas Matematik pada Jumaat (1 Oktober). Cik Ang, 41 tahun, berkata: "Usaha satu tahunnya sia-sia sahaja. Saya faham perlunya protokol Covid-19 tetapi ini sangat mengecewakan." MOE, dalam satu kenyataan pada Ahad (26 September), berkata pelajar yang tidak dapat menduduki peperiksaan kebangsaan dengan sebab yang sah akan mendapat markah yang diunjurkan berdasarkan keputusan peperiksaan mereka yang lalu dan faktor lain seperti prestasi kohort sekolah. Ia berkata pelajar yang telah menerima arahan kuarantin (QO) Covid-19 dan mereka yang diberi cuti ketidakhadiran dibenarkan menduduki peperiksaan sekiranya mereka mendapat keputusan ujian PCR negatif pada awal QO dan mendapat ART negatif dalam masa 24 jam sebelum setiap peperiksaan.

