MURID Darjah 4 Singapura telah muncul sebagai pembaca terbaik di dunia dalam satu ujian antarabangsa.

Dapatan Tinjauan Kemajuan dalam Kecelikan Membaca Antarabangsa (PIRLS) yang dikongsi Kementerian Pendidikan (MOE) pada Selasa mendapati murid di sini bagus dalam kemahiran membaca asas dan menggunakan pemikiran pada tahap lebih tinggi berbanding rakan sebaya dari negara lain.

Mereka juga boleh mengemudi teks digital, mendapat idea utama dan membuat pertimbangan mudah tentang kebolehpercayaan maklumat.

PIRLS, yang dijalankan setiap lima tahun, adalah kajian antarabangsa yang mengukur kecelikan membaca murid Darjah 4.

Sejumlah 57 sistem pendidikan mengambil bahagian dalam PIRLS 2021 yang dianjurkan oleh Persatuan Antarabangsa bagi Menilai Pencapaian Pendidikan (IEA) itu.

Ini kali pertama ujian itu ditadbir sepenuhnya dalam talian, tetapi sistem pendidikan boleh memilih sama ada untuk melakukannya di atas kertas atau secara digital.

Di Singapura, 6,719 murid Darjah 4 yang dipilih secara rambang dari semua 183 sekolah rendah di Singapura mengambil bahagian dalam kajian itu dari Oktober hingga November 2020.

MOE berkata keputusan yang dicatat dalam kajian terkini itu menjadikan Singapura satu-satunya sistem pendidikan yang muridnya mencatat kemajuan mantap sepanjang 20 tahun lalu sejak kajian itu pertama kali ditadbirkan pada 2001.

"Prestasi Singapura mungkin disebabkan oleh faktor seperti penambahbaikan yang dibuat kepada kurikulum pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris kita sepanjang dua dekad lalu, program yang disediakan bagi membantu murid yang memerlukan sokongan kecelikan tambahan, dan usaha yang dilakukan oleh sekolah dan guru untuk memastikan murid boleh terus belajar dengan berkesan sepanjang pandemik Covid-19," kata MOE.

Menurut kementerian itu, murid Singapura menunjukkan prestasi amat baik dalam kemahiran membaca asas dengan markah 584 dan kemahiran membaca menggunakan pemikiran pada tahap lebih tinggi dengan markah 591 berbanding rakan sebaya antarabangsa mereka yang mencatat markah purata 502 dan 503 masing-masing.

Walaupun dengan pandemik Covid-19, markah kecelikan membaca Singapura bertambah baik berbanding 2016, dengan markah purata naik daripada 576 kepada 587.

Sementara itu, lebih sepertiga murid Singapura mencapai penanda aras antarabangsa "Lanjutan" tertinggi dalam PIRLS 2021, berbanding median antarabangsa sebanyak 7 peratus.

Ini menunjukkan kecekapan tinggi dalam membaca teks yang sukar dan mempamerkan kemahiran menggunakan pemikiran pada tahap lebih tinggi, kata MOE.

Pada masa sama, markah persentil ke-10 Singapura sebanyak 473 juga merupakan antara yang tertinggi dalam semua sistem pendidikan yang mengambil bahagian.

MOE menambah, walaupun terdapat keprihatinan pandemik Covid-19 mungkin memberi lebih banyak kesan kepada pembelajaran murid dari latar belakang status sosioekonomi (SES) lebih rendah berbanding rakan sebaya mereka, PIRLS terkini itu mendapati jurang prestasi membaca antara murid Singapura dari isi rumah SES lebih rendah dan isi rumah SES lebih tinggi tidak semakin luas antara 2016 dengan 2021.

Kementerian itu berkata ia akan terus menyokong murid merentasi semua kebolehan akademik dan latar belakang untuk memaksimumkan potensi mereka, dengan terus mempertingkatkan mereka yang memerlukan lebih banyak sokongan.

Mengulas tentang prestasi Singapura dalam PIRLS 2021, Ketua Pengarah Pendidikan, Cik Liew Wei Li, berkata kecelikan membaca adalah asas pembelajaran, dan merupakan salah satu kemahiran paling penting yang diperoleh murid di sekolah rendah.

"Pakar dan guru pakar MOE kita telah menambah baik kurikulum kita dan mengukuhkan keupayaan guru-guru kita.

"Murid Darjah 4 kita terus menunjukkan kecelikan membaca yang kukuh mengikut piawaian antarabangsa, walaupun menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19, berkat keazaman dan kreativiti guru-guru kita, yang telah melakukan usaha gigih bagi memastikan pembelajaran dapat diteruskan sepanjang pandemik, serta kerjasama rapat ibu bapa dalam menyesuaikan diri dengan keadaan," katanya.