Pusat beli-belah gergasi, Mustafa Centre, akan beroperasi semula selama 24 jam bermula 6 September.
Satu petikan gambar notis yang ditandatangani pengarah urusan Mustafa Centre, Encik Mustaq Ahmad, telah diedarkan secara dalam talian dan mendapat pelbagai sambutan daripada netizen.
Mengulas mengenai waktu operasi yang bakal berubah itu, Encik Mustaq menulis di dalam notis itu: “Penyelia/pengurus/ketua jabatan dikehendaki membuat pengaturan yang sewajarnya.”
Kebanyakan netizen bergembira dengan penyambungan semula operasi 24 jam pusat beli-belah itu, dengan ada yang menyatakan ia adalah tempat terbaik untuk membeli-belah pada waktu larut malam.
Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Edmund Pek, berkata:
“Terima kasih atas misi sosial anda untuk menjadi pusat beli-belah yang beroperasi selama 24 jam.”
Tambahnya, Mustafa Centre telah ‘menyelamatkannya’ beberapa kali dahulu apabila beliau perlu membeli barang pada lewat malam.
Seorang lagi pengguna Facebook dikenali sebagai Haswandy Wahab, berkata beliau boleh membeli hampir semua barang di Mustafa Centre.
Ada juga netizen yang tidak tahu pusat beli-belah itu menghentikan operasi 24 jamnya.
Sebelum pandemik Covid-19, pusat beli-belah itu beroperasi 24 jam.
Difahamkan, pusat beli-belah ikonik yang terletak di Syed Alwi Road itu memendekkan waktu operasinya dari 9.30 pagi hingga 11.30 malam akibat pandemik.
Namun, apabila sekatan Covid-19 dilonggarkan pada 2022, Mustafa Centre melanjutkan waktu operasi sehingga 2 pagi setiap hari mulai Julai 2022.
Berita Harian telah menghubungi Mustafa Centre untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg