Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mustafa Izzuddin ketuai kumpulan pemikir pengajian Asia Tenggara di India

Penganalisis hubungan antarabangsa S'pura jadi pengarah eksekutif pusat dan mengajar di universiti di Haryana, India dan turut dilantik bangunkan program di universiti di Pakistan
Oct 3, 2021 | 5:30 AM
Dr Mustafa Izzuddin
Dr Mustafa Izzuddin -

PENGANALISIS hubungan antarabangsa Dr Mustafa Izzuddin akan menjadi warga Singapura pertama menerajui sebuah kumpulan pemikir dalam pengajian Asia Tenggara di India, di mana beliau akan berusaha merapatkan jurang pengetahuan dan kebudayaan antara rantau itu dengan Asia Selatan.

Dr Mustafa, 41 tahun, akan menggalas peranan sebagai pengarah eksekutif Pusat Pengajian Asia Tenggara Nehginpao Kipgen (NKCSEAS) di Universiti Global O.P. Jindal, yang terletak di Haryana, sebuah negeri di utara India.

Beliau juga akan mengajar kursus berkaitan Asia Tenggara di Sekolah Ehwal Antarabangsa Jindal di universiti itu.

Pada masa sama, Dr Mustafa akan mengetuai dan membangunkan program hubungan antarabangsa di Universiti Nasional Beaconhouse di Lahore, Pakistan - universiti sastera tidak mencari untung pertama di negara itu.

Dr Mustafa berkongsi bahawa minat beliau dalam benua kecil Asia Selatan adalah disebabkan sejarah keluarganya yang berasal dari rantau itu - datuk sebelah bapanya dan moyang sebelah ibunya berasal dari Gujarat.

Sementara itu, pengajian mengenai Asia Tenggara adalah bidang yang beliau memang minati, lebih-lebih lagi sebagai seorang warga Singapura yang tinggal di rantau ini.

"Asia Selatan antara rantau paling pesat berkembang di dunia, dengan India merupakan antara kuasa besar terkemuka dari segi ekonomi dan aspek lain.

"Rantau itu sangat penting, dan kita perlu mencari cara bagi Asia Tenggara dan Asia Selatan mendekati satu sama lain dengan lebih mendalam dan ini adalah baik bagi penduduk kedua-dua rantau ini," kata beliau, yang dijangka berada di Pakistan dan India hingga hujung tahun depan.

Dr Mustafa, yang fasih berbahasa Urdu dan Hindi selain Inggeris dan Melayu, berkata beliau akan berusaha merapatkan jurang pengetahuan dan budaya antara Asia Tenggara dengan Asia Selatan menerusi kajian, program pertukaran dalam dunia pascapandemik, dan juga perbincangan webinar.

Contohnya, di universiti di Pakistan, beliau sedang menjalankan kajian tentang hubungan Asia Selatan dengan negara individu Asean, seperti Singapura, Malaysia, Indonesia, Myanmar dan Thailand.

Selain itu, beliau akan mengajar kursus seperti hubungan antarabangsa, analisis dasar asing dan Islam dalam hubungan antarabangsa di dua universiti tersebut.

Beliau juga berharap dapat bekerjasama dengan penuntut universiti untuk mengadakan dialog dan pendekatan antara agama dengan budaya supaya belia dari Asia Selatan dan Asia Tenggara dapat mengenali budaya dan tamadun satu sama lain.

Dr Mustafa berharap usaha beliau itu akan dapat membangunkan program universiti mampan dan menjana minat mendalam tentang Asia Tenggara dan Asia Selatan dalam kalangan pelajar.

"Lebih ramai anak muda minat dalam kedua-dua rantau ini, lebih dapat kita mendekatkan dua rantau ini bersama.

"Dari segi akademik pula, menerusi penulisan dan kajian, kita akan dapat mempertingkat pendekatan perniagaan dan perdagangan serta ekonomi antara dua rantau ini dan membina pemahaman juga menerusi lensa pertahanan dan keselamatan," kata beliau.

Meskipun akan berada di Pakistan dan India, Dr Mustafa akan terus memegang peranannya sebagai penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, sebuah konsultan dasar dan perniagaan.

Beliau juga akan terus menjadi pensyarah kanan adjung di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan profesor pelawat hubungan antarabangsa di Universiti Islam Indonesia.

"Asia Selatan antara rantau paling pesat berkembang di dunia, dengan India merupakan antara kuasa besar terkemuka dari segi ekonomi dan aspek lain. Rantau itu sangat penting, dan kita perlu mencari cara bagi Asia Tenggara dan Asia Selatan mendekati satu sama lain dengan lebih mendalam dan ini adalah baik bagi penduduk kedua-dua rantau ini." - Dr Mustafa Izzuddin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg