Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mutu air di Longkang Besar Bukit Timah didapati normal: PUB

Air dalam longkang besar itu bertukar biru terang pada 17 Januari
Jan 19, 2024 | 6:52 PM
BERTUKAR WARNA: Air di Longkang Besar Bukit Timah di antara Keng Lee Road dengan Kampong Java Road bertukar warna biru terang pada 17 Januari, namun agensi air negara PUB berkata mutu air didapati normal.
BERTUKAR WARNA: Air di Longkang Besar Bukit Timah di antara Keng Lee Road dengan Kampong Java Road bertukar warna biru terang pada 17 Januari, namun agensi air negara PUB berkata mutu air didapati normal. - Foto MELVIN LEE

Agensi air negara PUB sedang menyiasat kejadian air longkang besar bertukar menjadi biru terang berhampiran Newton pada 17 Januari.

Kejadian tersebut dirakam dan dimuat naik dalam satu video di akaun TikTok vinnography pada 18 Januari – sejauh ini video tersebut mendapat lebih daripada 60,000 tontonan.

View post on TikTok

Menurut laporan The Straits Times (ST), pegawai PUB yang melaksanakan penilaian di lokasi pada air di sepanjang Longkang Besar Bukit Timah antara Keng Lee Road dengan Kampong Java Road “tidak mendapati sebarang kesan pelepasan luar biasa di lokasi atau di hulu longkang besar”.

Dalam satu respons kepada ST, ia berkata: “Tiada ketaknormalan dikesan dalam mutu air di hilir longkang besar atau di Kolam Air Marina.”

Pemilik TikTok itu, yang dikenal pasti sebagai Encik Melvin Lee, menjelaskan beliau terkejut dengan perubahan warna air oleh kerana beliau bekerja di kawasan itu hampir setiap hari.

“Pada mulanya, saya berpendapat pertukaran warna itu mungkin adalah daripada sesuatu acara atau pewarna yang berkaitan sesuatu perayaan,” ujar lelaki berusia 34 tahun itu.

Beliau tidak menghidu mana-mana bau pelik disebabkan pertukaran warna air tersebut, tambahnya.

Dalam video susulan yang dimuat naiknya pada 18 Januari, dapat dilihat warna air dalam longkang besar terbabit sudah kembali seperti biasa.

View post on TikTok

PUB berkata ia sedang menyiasat kejadian tersebut dan mengingatkan pemaju dan kontraktor di sekitar kawasan itu bahawa adalah satu kesalahan untuk membuang bahan ke dalam longkang besar atau longkang awam.

Kejadian serupa berlaku pada Ogos 2023 di longkang besar di Toa Payoh, dengan air longkang besar bertukar menjadi biru terang. Ikan juga didapati berada dalam air pada waktu itu.

Dalam kes berasingan, air dalam longkang besar di Jurong West bertukar merah pada 2015, mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk – PUB menyatakan perubahan warna pada waktu itu ada kaitan dengan pelarut dan pewarna organik dalam keliling longkang besar.

Orang awam boleh menghubungi PUB di talian 1800-2255-782 untuk melaporkan sebarang pencemaran yang disyaki pada laluan air Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg