Pasukan Bertindak Jerebu (HTF) silang agensi yang diterajui Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) bersidang semula pada Sabtu selepas mutu udara mencecah tahap tidak sihat buat kali pertama sejak 2019.
Pasukan bertindak itu antara lain menyelaras kerja persiapan dan operasi jerebu bagi pelbagai sektor termasuk sekolah, tempat kerja dan institusi penjagaan kesihatan.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam adalah antara 67 dengan 123 hingga 8 malam Sabtu. Bacaan PSI 101 hingga 200 adalah dalam lingkungan tidak sihat.
Kali terakhir PSI melebihi 100 di Singapura adalah pada September 2019.
Setakat ini, agensi HTF sudah mengeluarkan pelan tindakan masing-masing serta nasihat bagi perlindungan kesihatan dan kesejahteraan awam.
HTF telah ditubuhkan pada September 1994 dan merupakan sebahagian daripada usaha yang diselaraskan seluruh pemerintah.
Bertemu media pada Sabtu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menyeru agar warga Singapura memantau nasihat yang dikeluarkan NEA sama ada melalui laman webnya (www.nea.gov.sg) atau menerusi aplikasi myENV.
“Keadaan jerebu dijangka tidak menentu kerana ia bergantung pada beberapa faktor – jumlah titik panas, tahap kebakaran hutan, arah tiupan angin dan juga sama ada berlakunya hujan.
“Sememangnya ia tidak menentu, tetapi kita tahu bahawa kita berada dalam tempoh El Nino yang bermakna keadaan lebih kering dan panas, yang meningkatkan risiko jerebu dan kebakaran hutan.
“Kita perlu berwaspada dan menjangkakan keadaan ini akan datang dan pergi, dan jika ia lebih serius, ia akan berterusan buat sementara waktu,” kata Cik Fu.
Sementara itu, NEA dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu berkata ia akan mengeluarkan nasihat harian termasuk ramalan PSI 24 jam yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk merancang aktiviti dan acara mereka bagi 24 jam seterusnya.
NEA juga berkata Kementerian Kesihatan (MOH) telah bekerjasama dengan institusi penjagaan kesihatan termasuk hospital awam, poliklinik dan rumah jagaan untuk mengambil langkah persiapan jerebu untuk menangani peningkatan bilangan pesakit dengan keadaan perubatan berkaitan jerebu.
Agensi tersebut berkata pelitup N95 tidak diperlukan buat masa ini bagi perjalanan singkat tetapi individu yang perlu berada di luar bagi tempoh yang lama boleh memakai pelitup sedemikian untuk mengurangkan pendedahan terhadap udara tercemar apabila mutu udara memasuki tahap Berbahaya iaitu PSI melebihi 300.
Sekolah termasuk prasekolah dan sekolah keperluan khas pula dilengkapi dengan alat pembersih udara.
Walaupun sekolah masih dibuka dan peperiksaan nasional berjalan seperti yang dijadualkan, sekolah telah membuat persediaan bagi calon menduduki peperiksaan di ruang tertutup yang dilengkapi pembersih udara jika mutu udara berada dalam tahap Tidak Sihat atau lebih teruk semasa peperiksaan.
Sekiranya berlaku penutupan sekolah, peperiksaan nasional akan dijadualkan semula. Calon sekolah akan dimaklumkan melalui sekolah mereka manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).
“HTF akan terus memantau keadaan dengan teliti untuk mengurangkan kesan jerebu pada orang ramai. Agensi HTF akan memberikan nasihat lanjut sekiranya keadaan jerebu semakin teruk,” tambah kenyataan itu.
Penduduk Singapura yang dihubungi Berita Minggu berkata keadaan jerebu telah menjejas kegiatan harian mereka.
Encik Md Yusof Abdul Latif, 44 tahun, seorang pengurus kemudahan, berkata keadaan jerebu yang semakin teruk menjejas dirinya.
“Kerja saya memerlukan saya berada di luar untuk memeriksa kemudahan dan jerebu menyebabkan pernafasan saya tidak selesa,” kata beliau.
Cik Faridah Abdul Samad, 58 tahun, pula berkata beliau lebih banyak duduk di rumah sekarang dengan jerebu dan cuaca panas.
“Saya rindu udara segar,” katanya. – Laporan tambahan MUHAIMIN SUZAINI
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg