Nadi S’pura perkenal Anugerah Latihan, buka sekolah demi perkasa minat muzik Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nadi S’pura perkenal Anugerah Latihan, buka sekolah demi perkasa minat muzik Melayu

Jan 24, 2026 | 5:30 AM

Nadi S’pura perkenal Anugerah Latihan, buka sekolah demi perkasa minat muzik Melayu

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Nadi S’pura, Anugerah Latihan, ‘School of Nadi Singapura’, muzik Melayu
Sejumlah dana telah disumbangkan oleh beberapa orang profesional daripada pelbagai bidang, termasuk Encik Zaqy Mohamad, Encik Nizam Ismail (Ethikom Consultancy) dan Encik Andy Chua (dermawan tempatan). - Foto NADI SINGAPURA

Syarikat budaya, Nadi Singapura Ltd, bakal memperkenalkan Anugerah Latihan bagi penggiat seni dan budaya, khususnya dalam bidang muzik Melayu, menjelajah Nusantara bagi menimba ilmu dalam pelbagai genre muzik Melayu.

Langkah ini dapat mendorong mereka yang baru merentas perjalanan seni agar terus mengasah kemahiran dan bakat dalam seni muzik tradisional secara lebih meluas.

Ia juga akan menubuhkan School of Nadi Singapura (Sons) bagi mengendalikan kelas muzik Melayu bagi menambah minat dan memperkasa keinginan individu yang baru berjinak-jinak dengan muzik Melayu untuk terus menggarap bakat dan pengetahuan.

Usaha ini mampu dilaksanakan dengan dana terkumpul sebanyak $70,000, hasil sumbangan golongan dermawan, baik individu mahupun syarikat, serta derma orang ramai.

Antara penyumbang besar dana ini termasuk Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; konsultan pengurusan niaga, Ethikom Consultancy; serta dermawan setempat, Encik Andy Chua sekeluarga.

Encik Zaqy, yang hadir sebagai tetamu terhormat pada Majlis Makan Malam Gala Malam Kekasih Nadi sempena ulang tahun ke-15 Nadi Singapura di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 23 Januari, telah mengumumkan sejumlah $70,000 berjaya dikumpulkan syarikat budaya itu.

Pengasas bersama dan Pengarah Artistik Nadi Singapura, Encik Riduan Zalani, 40 tahun, pula memberi butiran terperinci mengenai usaha melatih dan memperkasa penggiat seni melalui Anugerah Latihan yang diperkenalkan dan penubuhan School of Nadi Singapura.

“Penggiat seni yang berminat daripada kumpulan Nadi Singapura, khususnya, akan dihantar ke pelbagai daerah yang kaya dengan amalan seni di sekitar Nusantara untuk mempelajari pelbagai genre muzik Melayu seperti Talempong, Ghazal, Zapin, Hadrah dan banyak lagi melalui Anugerah Latihan yang diperkenalkan,” jelas Encik Riduan.

Talempong adalah alat muzik tradisional yang ikonik dalam masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia. Ia tergolong dalam kategori alat muzik genderang yang diperbuat daripada logam (biasanya gangsa, loyang atau besi).

Kelas muzik Sons pula akan dikendalikan di tapak latihan Nadi Singapura, iaitu Pusat Seni Aliwal, bermula Mac ini.

Ia berlangsung selama lapan minggu dengan berpandukan jadual mengikut penggal.

Kursus bagi kohort selanjutnya pula bermula pada Julai 2026.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang pada dana ini. Saya sangat bersyukur dan merendah hati atas sumbangan besar yang dihulurkan.

“Ia merupakan jumlah yang sangat besar dan membolehkan segala usaha kami meluaskan seni muzik Melayu ini kepada khalayak lebih ramai menjadi nyata.

“Dengan jumlah yang terkumpul dan adanya majlis Malam Kekasih Nadi ini, ia merupakan satu penyataan dan bukti wujudnya rasa peduli golongan karyawan daripada industri bukan seni di Singapura terhadap kemajuan seni Melayu,” jelas Encik Riduan.

Menurutnya, sekolah muzik, Sons, yang bakal dibangunkan bukan sahaja bertujuan mengajarkan perihal muzik Melayu, malah menerapkan sekali pengajaran dan nilai-nilai Melayu yang baik kepada jiwa anak-anak bangsa.

“Dengan kelas Sons ini, kita ingin mendidik anak-anak Melayu tentang nuansa budaya Melayu yang mempunyai nilai adab dan akhlak, baik dalam pertuturan mahupun tingkah laku.”

“Kelas kami bukan sahaja mengasah kemahiran bermain genderang atau muzik Melayu semata-mata kerana kami juga ingin menyemai warisan budi dan pekerti sebagai jati diri anak Melayu Singapura,” jelas Encik Riduan.

Setelah melangkah sejauh 15 tahun, Encik Riduan berharap dari titik ini, Nadi Singapura akan terus menaiktarafkan seni Melayu di Singapura.

“Berkat usaha bersama keluarga dan rakan-rakan seperjuangan seperti Encik Yaziz Hassan, pengasas bersama Nadi Singapura, kami berharap dapat dijadikan pembekal semangat dan usaha untuk terus memperjuangkan warisan dan budaya Melayu ini,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg