Keluarga Cik Nur Surya Emelya Mohamad Imran, 22 tahun, yang cedera parah akibat satu kemalangan jalan raya di Johor Bahru pada Jumaat merayu agar saksi kejadian dapat tampil untuk memberi maklumat.
Teman beliau, Allahyarham Mohamad Ilyas Ilyasa Mohamad Ismadi, 22 tahun, terkorban apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan lori treler berhampiran batu tanda 9.5 kilometer di lebuh raya Linkedua ke arah Johor Bahru.
“Emelya kata beliau ternampak satu kereta sebelum beliau pitam. Kejadian itu berlaku selepas Petronas, kira-kira 10 minit selepas R&R Gelang Patah, pada 10 malam atau 10.30 malam.
“Kalau ada sebarang rakaman atau sesiapa yang ternampak kejadian itu, kami harap mereka dapat tampil. Kami harap dapat keadilan buat Allahyarham Ilyas dan juga Emelya,” kata Encik Imran, ayah kepada Cik Emelya.
Ketika ditemui wartawan pada Ahad di Pusara Aman bagi pengebumian Allahyarham Ilyas, Encik Imran berkata beliau cemas ketika mendapat panggilan bahawa anaknya telah ditimpa kemalangan.
Pada malam kejadian itu, beliau baru tiba di Kuala Lumpur untuk bercuti bersama isterinya, percutian yang telah dihadiahkan anaknya dan Allahyarham Ilyas.
“Sebenarnya, cuti kami ke KL ini adalah hadiah daripada Allahyarham Ilyas dan Emelya. Biasanya, kita bercuti bersama-sama. Tapi Emelya ingin surprise saya dan ibu tirinya memandangkan hari jadi saya jatuh pada 6 Ogos.
“Allahyarham Ilyas dan Emelya tempahkan tempat penginapan dan bas buat kami, dah hadiahkan kami $1,000 untuk buat belanja. Allahyarham Ilyas, walaupun baru sahaja habis Perkhidmatan Negara (NS) pada Mei, memang orang yang baik dan murah hati.
“Pada malam kejadian itu, sekitar 9 malam, saya baru sahaja bercakap dengan Emelya menerusi panggilan video. Beberapa minit kemudian, saya dapat panggilan oleh orang lain yang menyatakan bahawa Emelya telah terlibat dalam kemalangan,” cerita Encik Imran.
Susulan kemalangan itu, Cik Emelya telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru dalam keadaan sedar, meskipun mengalami cedera parah. Beliau kemudian dibawa ke Singapura pada Sabtu untuk dirawat di Hospital Khoo Teck Puat.
Menurut keluarganya, Cik Emelya mengalami beberapa kecederaan di bahagian pelvis dan hati, dan terpaksa menjalani pembedahan.
Berkongsi perkembangan baru kepada Berita Harian pada Isnin, Encik Imran berkata doktor terpaksa memasukkan paku ke bahagian pelvis Cik Emelya, dan anaknya itu juga harus menjalani dua lagi pembedahan dalam beberapa hari ini untuk mengeluarkan paku dan memasukkan plat.
Encik Imran berkata beliau amat bersyukur dengan doa dan sokongan orang ramai setelah mendapat tahu tentang kejadian itu.
“Rakan dan keluarga, termasuk ahli keluarga dari Australia, tidak putus-putus menelefon untuk ambil tahu keadaan Emelya. Ramai telah tampil membantu untuk membiayai kos perubatan dan keperluan lain.
“Alhamdulillah, kami amat menghargai sokongan yang telah diberikan kepada kami,” tambah Encik Imran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg