Topik diikuti
Pergi ke BHkuNahas di Tanjong Pagar: Sidang koroner 9 Jun
Nahas di Tanjong Pagar: Sidang koroner 9 Jun
Nahas di Tanjong Pagar: Sidang koroner 9 Jun

SEBUAH sidang koroner akan diadakan bulan depan untuk menyiasat nahas jalan raya yang mengakibatkan lima lelaki maut di Tanjong Pagar tahun lalu.
Sidang akan diadakan pada 9 Jun.
Dalam nahas yang berlaku pada 13 Feb 2021 pada 5.40 pagi, lima lelaki yang menaiki sebuah kereta BMW M4 berwarna putih telah merempuh sebuah rumah kedai di Tanjong Pagar.
Kereta itu telah terbakar dan kelima-limanya terkorban.
Mereka ialah Encik Jonathan Long Junwei, 29 tahun; Encik Eugene Yap Zheng Min, 29 tahun; Encik Elvin Tan Yong Hao, 28 tahun; Encik Teo Qi Xiang, 26 tahun; dan Encik Gary Wong Hong Chieh, 29 tahun.
Encik Long merupakan pemandu kenderaan tersebut.
Semua kecuali Encik Wong bekerja sebagai penasihat kewangan di Aviva Financial Advisers.
Encik Wong pula bekas wakil di firma itu.
Dalam rakaman kamera keselamatan bagi kejadian berkenaan, kereta itu kelihatan memecut laju di Tanjong Pagar Road sebelum kemalangan berlaku.
Ia telah terpusing di luar kawalan sebelum merempuh tembok rumah kedai, meletup lalu terbakar tidak lama selepas itu.
Rakaman juga menunjukkan tunang Encik Long, Cik Raybe Oh Siew Huey, 26 tahun, berlari ke arah kebakaran itu untuk cuba dan menyelamatkan mereka.
Bekas pramugari dan penghibur getai itu kemudian dilihat muncul dari api dalam keadaan terbakar dan berlari ke arah rumah kedai di seberang jalan.
Beliau melecur teruk dan dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.
Keadaannya stabil dan beliau dipindahkan ke wad pergantungan tinggi hanya lebih seminggu kemudian.
Difahamkan, Cik Oh dan beberapa teman lain berada di sebuah kedai makan Korea yang bertentangan dengan lokasi nahas sebelum kemalangan itu.
Cik Oh telah menghabiskan lebih dari setahun menjalani berpuluh-puluh pembedahan.
Dalam wawancara dengan The Straits Times tahun lepas, beliau berkata beliau kekal kuat, dengan ibunya sebagai tunggak sokongannya.
Beliau menambah beliau tidak menyesal telah cuba menyelamatkan tunangnya, dan masih rapat dengan keluarga Encik Long.
Berikutan kemalangan maut itu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) meneliti keadaan jalan raya di Tanjong Pagar dan seterusnya memasang lebih banyak langkah keselamatan seperti pembahagi jalan dan lintasan pejalan kaki.
