Topik diikuti
Pergi ke BHkuNahas Tampines ragut dua nyawa: Pemandu dijel lebih 12 tahun
Muhammad Syafie Ismail juga dilarang memandu seumur hidup
Nahas Tampines ragut dua nyawa: Pemandu dijel lebih 12 tahun
Pemandu yang menyebabkan kemalangan berantai di Tampines pada 2024 sehingga meragut dua nyawa, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun sembilan bulan pada 5 Oktober.
Muhammad Syafie Ismail, 45 tahun, yang turut mencederakan lapan orang yang lain termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, juga dilarang memandu seumur hidup.
Seorang pelajar maktab rendah dan seorang wanita berusia 57 tahun maut dalam kemalangan itu.
Syafie mengaku bersalah pada Ogos lalu atas tiga pertuduhan iaitu masing-masing satu pertuduhan bagi kesalahan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah, dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan.
Ketika hukuman dijatuhkan pada 5 Oktober, Syafie terus menundukkan kepalanya di mahkamah.
Dia juga tidak menjawab ketika ditanya The Straits Times sama ada ingin menyampaikan sesuatu kepada keluarga mangsa.
Ketua Hakim Daerah Toh Han Li berkata hukuman itu setimpal dengan kesalahan Syafie dan tidak membebankannya.
Akibat perbuatannya, dua nyawa terkorban, lapan yang lain cedera dan keluarga mereka terjejas buat selama-lamanya, kata hakim itu.
Ahli keluarga Syafie dan keluarga pelajar berkenaan hadir semasa perbicaraan.
Pada 22 April 2024, Syafie telah selesai bekerja syif malam sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat perkilangan antarabangsa sebelum menurunkan seorang penumpang khidmat menumpang kereta GrabHitch di Bedok sekitar 6.15 pagi.
Dia telah memotong sebuah kereta secara bahaya di Bedok Reservoir Road sebelum berlanggar dengan sebuah lagi kereta, hingga menyebabkannya terpesong ke kiri dan hampir bertembung dengan seorang penunggang motosikal.
Syafie kemudian memandu menuju ke persimpangan pada kelajuan antara 129 kilometer sejam (kmj) dengan 134kmj, lebih tinggi daripada had laju di kawasan itu iaitu 50kmj.
Dia kemudian melanggar lampu merah yang sudah menyala sekurang-kurangnya 26 saat lalu merempuh tiga kenderaan, hingga menyebabkan kemalangan berantai.
Video di media sosial menunjukkan sebuah kereta hitam memecut laju melepasi sekurang-kurangnya tiga buah kenderaan sebelum menyebabkan kemalangan melibatkan lima kenderaan lain, termasuk sebuah van.
Kemalangan itu telah meragut nyawa Cik Norzihan Juwahib, 57 tahun, dan pelajar berusia 17 tahun yang identitinya tidak boleh didedahkan kerana perintah larangan.
Allahyarhamha Norzihan, penumpang van berkenaan, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau adalah teknisyen kanan di sebuah syarikat kawalan perosak dan telah bekerja di situ selama kira-kira 10 tahun.
Bantuan pernafasan kecemasan (CPR) telah dilakukan terhadapnya di tempat kejadian, namun beliau meninggal dunia di hospital akibat pelbagai kecederaan termasuk patah tulang leher dan tulang rusuk.
Pelajar itu pula sedang dalam perjalanan bersama bapanya untuk menyertai acara tahunan larian sekolahnya apabila kereta mereka terbalik dan pintunya terbuka.
Pelajar itu terperangkap di bawah sebuah kereta lain, manakala bapanya pula tidak sedarkan diri.
Apabila sedar di hospital, beliau diberitahu bahawa anaknya itu telah meninggal dunia.
Beliau mengalami patah tulang rusuk dan diberikan cuti hospital selama 191 hari.
Pendakwa raya berkata ibu pelajar itu mengalami gangguan kemurungan besar dan gangguan tekanan akibat trauma.
Kemalangan berantai itu turut mencederakan lapan orang, termasuk seorang yang patah tulang rusuk dan seorang lagi cedera di kepala.
Syafie mengalami patah tulang lengan dan rusuk tetapi tidak mengalami kecacatan kekal.
Dia ditahan dua hari kemudian sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital, dengan lesen memandunya digantung serta-merta.
Pendakwa raya memohon hukuman penjara antara 12 tahun sembilan bulan dengan 13 tahun enam bulan kerana kesan perbuatan Syafie sememangnya amat serius.
Pendakwa raya menyatakan bahawa bapa pelajar itu menyalahkan dirinya sendiri setiap hari atas kejadian tersebut, manakala ibunya, yang berasa hidup ini tidak bermakna, terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar psikologi klinikal.
Peguam bela, Encik Kalaithasan Karuppaya, memohon hukuman penjara antara tujuh tahun enam bulan dengan lapan tahun dan bersetuju dengan larangan memandu seumur hidup.
Beliau berkata Syafie tersilap membuat pertimbangan dan kesilapan itu akan menghantuinya sepanjang hayat.
Pesalah yang memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian boleh dipenjara sehingga lapan tahun dan dilarang memandu.