Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naik Vespa buat kerja amal, agih daging korban

Jun 14, 2024 | 3:32 PM
Encik Ramle Ismail bersama skuter Vespa yang dimiliki sejak 2016. Beliau sering menggunakan skuternya itu untuk melakukan kerja amal, termasuk bagi pengagihan daging korban.
Encik Ramle Ismail bersama skuter Vespa yang dimiliki sejak 2016. Beliau sering menggunakan skuternya itu untuk melakukan kerja amal, termasuk bagi pengagihan daging korban. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bagi Encik Ramle Ismail, skuter Vespa miliknya bukan sekadar menjadi kenderaan tunggangan untuk membawanya ke destinasi yang diingini.

Namun, ia telah banyak berbakti dalam membawanya menyelami kehidupan mereka yang memerlukan. 

Encik Ramle, 56 tahun, merupakan pengasas dan penyelaras bersama kumpulan peminat motosikal, Bikers Subuhan, yang ditubuhkan pada 2020 dan sudah lama bergiat dalam kerja-kerja kesukarelawanan.

Beliau bersama rakan kumpulan lain adalah antara sukarelawan yang bakal menyumbang tenaga kepada Persatuan Muhammadiyah dalam pengagihan daging korban pada Hari Raya Aidiladha.

Menurut Encik Ramle, kumpulan itu akan menghantar 10 hingga 20 sukarelawan untuk membantu dalam pengagihan daging. 

Antara kegiatan kumpulan itu, selain daripada menunaikan solat subuh berjemaah setiap hari di masjid serata Singapura, mereka juga akan bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dan mengagihkan daging korban kepada keluarga berpendapatan rendah pada setiap Hari Raya Haji.

Peluang untuk membantu mereka yang memerlukan dan melihat senyuman di wajah mereka telah mendorongnya untuk melaksanakan kerja amal sejak 26 tahun lalu, jelas Encik Ramle.

Berkongsi pengalaman beliau kepada Berita Harian semasa dihubungi, beliau berkata kebanyakan daging akan diagih ke rumah sewa yang didiami warga emas. 

“Apabila melihat keadaan rumah mereka, saya boleh menitiskan air mata. Kami dapat lihat sendiri, ia serba kekurangan.” 

“Jadi saya fikir apa yang kami boleh lakukan untuk bantu mereka selain dari memberikan daging.

“Kami kemudian memutuskan untuk bantu membersihkan rumah mereka seperti mengecat dan membelikan barang-barang dapur atas persetujuan penduduk tersebut,” ujar beliau, sambil menambah kumpulan itu akan membeli barangan dan memberikannya kepada penduduk. 

Encik Ramle percaya perkara sebegini dapat mengeratkan silaturahim antara mereka dan penduduk. 

“Penduduk sudah kenal kami. Senyuman yang terukir di muka mereka menguatkan lagi perasaan ingin melaksanakan kerja-kerja amal ini pada tahun-tahun yang seterusnya,” tambah Encik Ramle, yang sudah berkecimpung dengan pelbagai kumpulan motor yang melaksanakan kerja amal sebelum menyertai Bikers Subuhan.

“Saya akan menggunakan Vespa saya untuk bergabung dengan kumpulan motosikal lain yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan membantu mengumpulkan dana untuk pertubuhan dan masjid-masjid,” jelasnya.  

Pada pertengahan 2020, semasa penubuhan awal Bikers Subuhan, mereka terpaksa mengharungi pandemik Covid-19. 

Tetapi mereka tidak berdiam diri dan mengambil langkah untuk membantu pertubuhan dan masjid dalam mengagihkan daging korban ketika ramai rakyat Singapura tidak boleh keluar rumah.

Mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka, sarung tangan dan menggantung daging yang dibungkus di pintu pagar rumah penerima. 

Selain daripada pengagihan daging korban, mereka juga membuat kerja amal seperti berbuka puasa bersama warga emas dan anak-anak yatim. 

“Dengan kebaikan yang kami laksanakan di dunia, kami tidak tahu apa yang kami akan peroleh di akhirat. Menggembirakan seseorang itu besar pahala dan kepuasannya.

“Semoga dengan berat timbangan daging korban yang kami bawa, berat juga pahalanya,” ujar Encik Ramle lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg