Pasukan Tentera Singapura Red Lions bukan hanya akan terjun bebas, malah "terbang" buat pertama kali dalam sejarah Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

Pasukan 10 anggota itu akan memakai sut merah terang bersayap dan terjun dari ketinggian lebih tinggi 3,800m -- tertinggi dalam sejarah NDP.

Mereka juga akan disertai penyelam tempur Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), yang akan memaparkan terjun bebas ke air dengan peralatan operasi penuh buat pertama kali di sekitar platform terapung Marina Bay, tempat NDP pada 9 Ogos diadakan.

Ketua pasukan Red Lions, Pegawai Waran Pertama (1WO) Ivan Low, 44 tahun, berkata pasukan itu memulakan persiapan bagi perbarisan itu dan terjun menggunakan sut bersayap pada Februari.

Sut bersayap, yang dibuat dari bahan payung terjun, disiapkan khas bagi setiap anggota Red Lions.

Tugas 1WO Low adalah mengatur proses melompat dan bertindak sebagai rujukan kepada yang lain semasa pasukan membuat bentuk berlian di angkasa selepas melompat dari pesawat pengangkutan C-130 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

"Saya juga akan bekerja rapat dengan juruterbang untuk menentukan sama ada keadaan cuaca akan membolehkan kami meneruskan lompatan, atau melakukan rancangan lain," katanya.

Bahagian permukaan sut bersayap itu akan membolehkan penggunanya "terbang" dan menggunakan tubuh untuk mengemudi.

Mereka akan melompat dari angkasa Sentosa dan meluncur pada kelajuan sehingga 200km sejam ke platform terapung, sebelum menggunakan payung terjung untuk mendarat.

Lompatan pada ketinggian lebih tinggi juga akan memberikan Red Lions satu minit untuk terjun bebas, berbanding 30 saatbagi terjun bebas biasa di NDP sebelumnya.

Seorang lagi anggota Red Lions, Mejar Arnold Low, 42 tahun, berkata salah satu cabaran menggunakan sut bersayap itu ia mengembangkan kaki dan tangan semasa terbang.

Mejar Low juga memainkan peranan sebagai jurukamera pasukan. Selain terjun, beliau mempunyai tanggungjawab tambahan merakam gambar dan video semasa melompat.

Beliau akan memakai topi keledar berkamera. Untuk merakam imej, beliau menggigit pada corong dan mencetuskan pemetik kamera.

Ini merupakan acara terjun kelima Mejar Low di NDP. Beliau memiliki rekod 1,100 terjun.

1WO Low juga mempunyai pengalaman serupa -- melakukan 1,400 terjun dalam kerjaya dan penyertaan keenam dalam NDP. -- The Straits Times