Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NDP 2023 pulang ke Padang, sambutan di lima stadium

Tema ‘Majulah Bersatu’ galak nilai inklusif, bina masa depan bersama penuh yakin
May 25, 2023 | 6:29 PM
KEMBALI KE PADANG: Seperti diumumkan sebelum ini, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2023 kembali ke Padang, akan menjadi perbarisan penuh pertama diadakan sejak Covid-19 melanda pada 2020.
KEMBALI KE PADANG: Seperti diumumkan sebelum ini, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2023 kembali ke Padang, akan menjadi perbarisan penuh pertama diadakan sejak Covid-19 melanda pada 2020. - Foto ST

PERBARISAN Hari Kebangsaan (NDP) kembali ke Padang pada 2023, pertama kali ia akan diadakan pada skala besar di kawasan ikonik itu sejak pandemik melanda tiga tahun lalu.

Sambutan Hari Kebangsaan juga akan diadakan di empat stadium – Bedok, Jurong West, Toa Payoh dan Woodlands – pada 5-6 Ogos serta di Our Tampines Hub (OTH) pada 6 Ogos, iaitu hujung minggu sebelum Hari Kebangsaan pada 9 Ogos.

Penduduk juga boleh menyaksikan pertunjukan bunga api di lima kawasan itu pada 9 Ogos.

Menurut penganjur, butiran tiket bagi perbarisan di Padang dan sambutan di kawasan kejiranan akan diberi tidak lama lagi.

Pertunjukan yang menjadi tradisi perbarisan, seperti tembakan meriam hormat Presiden dan pertunjukan payung terjun pasukan Red Lions, turut diadakan. Berbeza daripada pertunjukan semasa Covid-919, Red Lions tidak akan membuat terjunan di beberapa lokasi di kawasan kejiranan, tetapi di Padang sahaja pada 9 Ogos.

Ini menyusuli reviu ke atas pertunjukan sedemikian menyusuli insiden pada NDP 2022, apabila seorang anggota Red Lions cedera selepas mendarat dengan cara yang tidak dijangka.

Acara tradisi seperti terbang lalu bendera negara gergasi yang dibawa helikopter Chinook CH-47 dan jet pejuang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), terus diadakan dan akan melalui ruang udara di Padang dan beberapa kawasan kejiranan.

Malah, pertunjukan udara RSAF kali ini akan dipertingkat, sempena sambutan ulang tahun ke-55 RSAF.

Satu pertunjukan enam tunggak pertahanan Mutlak baru juga akan ditampilkan dengan kenderaan berhias yang antara lain dilengkapkan dengan peralatan dan perkakas Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Namun, satu acara popular, perarakan kenderaan berperisai tiga pasukan itu di serata Singapura tidak akan diadakan tahun ini.

Buat julung-julung kali, cabang keempat SAF, Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS), akan menyertai perbarisan sebagai anggota kontinjen Kawalan Kehormatan.

Ini semua diumumkan Jawatankuasa Eksekutif NDP 2023 dalam satu sidang media Kementerian Pertahanan (Mindef) di Galeri Nasional Singapura (NGS) pada Khamis.

Tema NDP tahun ini ialah ‘Majulah Bersatu’, yang mengajak rakyat Singapura berpandang ke hadapan dengan penuh yakin dan bina sebuah masa depan inklusif dan bersepadu.

Selaras tema itu, pentas berbilang media di Padang akan memaparkan empat segmen yang melambangkan identiti, semangat dan aspirasi rakyat serta sumbangan mereka kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP 2023, Kolonel Terence Ho, berkata NDP tahun ini bertujuan memperbarui semangat rakyat pascapandemik, dengan harapan Singapura kekal berdaya tahan dan bersedia mengatasi cabaran dalam dunia yang berubah.

GALAS TANGGUNJAWAB NEGARA: Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP 2023, Kolonel Terence Ho.
GALAS TANGGUNJAWAB NEGARA: Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP 2023, Kolonel Terence Ho. - Foto ST

“Warga Singapura boleh menjangka perayaan meriah, apabila kami kembali ke Padang bagi NDP skala penuh buat pertama kali sejak 2019 sejak pandemik melanda... sesuatu yang akan memaparkan identiti, semangat dan aspirasi kita” kata Kolonel Ho.

Logo NDP 2023 turut diumumkan. Ia berbentuk kepala singa dengan angka ‘58’ di sebahagian rambut lehernya melambangkan ulang tahun ke-58 Singapura sejak merdeka pada 1965.

Ia kelihatan seolah berpandang tinggi ke hadapan yang melambang hasrat Singapura maju ke peringkat lebih tinggi sambil menghadap lima bintang negara melambangkan demokrasi, keamanan, kemajuan, keadilan dan kesamaan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Eksekutif NDP 2023 juga akan melancarkan kempen untuk menggalak penglibatan orang ramai terhadap kerja sukarela agar dapat memupuk komitmen dan sikap bertimbang rasa terhadap masyarakat tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg